Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berharap kerajaan baharu yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan membawa Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2021 atau RUU 355 ke Parlimen.
Beliau berkata, RUU berkenaan tidak sempat untuk dibentangkan pada persidangan kali ini susulan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober lalu.
“Secara prinsip, RUU itu sudah dipersetujui Jemaah Menteri pada 26 Ogos lalu dan dibawa ke Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membuat penelitian. Setakat hari ini, RUU itu hanya di AGC dan tidak sempat dibawa ke mesyuarat Kabinet kerana Parlimen bubar.
“Harapan saya untuk (mana-mana kerajaan) akan datang untuk teruskan (bawa RUU ke Parlimen), RUU itu dah siap sedia elok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Agensi dibawahnya dan Majlis Apresiasi JPM (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober lalu untuk memberi laluan kepada PRU-15 selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ogos lalu, Datuk Idris dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyediakan memorandum Jemaah Menteri mengenai cadangan dasar penggubalan RUU 355 untuk diedarkan kepada agensi berkaitan.
Katanya, memorandum itu untuk mendapatkan ulasan agensi berkenaan secara dasar bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
RUU 355 dibentangkan di Dewan Rakyat buat pertama kali pada 26 Mei 2016 oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Datuk Seri Ismail Sabri pada September tahun lalu dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempergiat usaha mendraf RUU 355 bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.
Menurutnya, setelah RUU 355 dimuktamadkan kelak, ia akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.
Beliau berkata, sepanjang tahun 2020 dan 2021, kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil (Jawatankuasa Teknikal) yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan RUU 355.
Ia bagi melihat dari pelbagai sudut khususnya aspek perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak agar RUU 355 tersebut lebih komprehensif, seterusnya dapat memperkasa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.