comscore
Tumpuan :
Politik

Hukum keluar mengundi adalah wajib yang tidak boleh ditangguh – Abdul Hadi

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

KOTA BHARU: PAS mengingatkan semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos nanti kerana hukum mengundi adalah wajib yang tidak boleh ditangguh.

Mengambil contoh kisah Nabi Muhammad S.A.W; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Nabi sendiri sanggup menangguhkan ibadah umrah hanya kerana mahu merasmikan perjanjian Hudaibiah untuk mendapatkan kuasa politik dan selepas itulah baharu menunaikan umrah.

“Hukum wajib ini ada dua perkara iaitu wajib yang boleh ditangguh dan tidak boleh ditangguh.

Sebagai contoh isteri yang kematian suami perlu menjalani edah dan pada masa sama dia mempunyai wang untuk menunaikan haji. Jadi jalani edah dulu baharu pergi haji. Ini dinamakan wajib yang boleh ditangguh.

Manakala wajib yang tidak boleh ditangguh pula seperti untuk mendapatkan kuasa politik, kena mengundi. Kalau tidak kita akan kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Pakat Pertahan Parlimen Ketereh, di sini, tengah malam tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Marang itu berharap semua pengundi dapat menunaikan kewajipan mengundi bagi mempertahankan Islam.

“Kita sudah berjaya jadikan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebagai kubu yang kita bina sekarang.

Apa yang penting kita dapatkan lagi Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dan kemudian Kerajaan Pusat, Insya-Allah.

Sebab itu tanggungjawab menegakkan politik orang Islam sangat besar yang mesti kita tunaikan,” katanya.

Loading...
Terkini