Tumpuan :
Politik

[VIDEO] “Hasrat jadi sebahagian Kerajaan Sabah? Kita akan lihat..bagi mandat dengan parti yang terbesar” – Shafie

 

 

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Masih belum ada ketetapan sama ada Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan mengikuti jejak langkah sama seperti Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menjadi sebahagian Kerajaan Negeri Sabah.

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata apa jua struktur politik semasa di peringkat negeri ketika ini keutamaan kini harus terarah kepada kestabilan politik di peringkat persekutuan yang perlu diatasi terlebih dahulu.

“Kita akan lihat saya tak nak cakap apa macam struktur yang ada pasal apa yang penting kepada kita ialah keadaan kestabilan yang pertama atasi dulu masalah di peringkat persekutuan manakala ini masalah di peringkat negeri di antara gabungan-gabungan mereka Bersatu dengan bekas Bersatu takda kena mengena dengan WARISAN saya tak nak campur kita atasi dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Michael Newbill di kediamannya hari ini.

Shafie mengulas demikian ketika ditanya media berhubung adakah langkah WARISAN sama akan diambil seperti PH Sabah untuk menjadi sebahagian kerajaan negeri seperti yang dihasratkan Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick semalam.

Mengulas mengenai kedudukan jumlah kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), WARISAN mempunyai mandat terbesar dan situasi itu sama seperti PH di peringkat persekutuan.

“Bagi mandat dengan parti yang terbesar, parti yang terbesar di negara kita ialah Pakatan Harapan (PH) menjadi pemerintah di negara malaysia bukan hanya partinya 82 (kerusi), mandat rakyat juga mendapat terbesar, begitu juga kita dahulu di sabah sepatutnya kita (WARISAN) yang terbesar,

“Sepatutnya itu untuk melahirkan satu suasana yang agak stabil kalau tidak berlakulah beli membeli, orang saya asyik kena beli walaupun jumlah kita yang besar. Ini tidak akan satu melahirkan kestabilan kalau kita nak kerjasama mesti ada clarity dia, jelas kerjasama dengan siapa, jangan kerjasama you ambil orang saya baru kerjasama tak boleh lah macam tu kan jadi seumpama itu jangan ada ketegangan.” katanya.

Untuk rekod daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, WARISAN mempunyai jumlah kerusi tertinggi iaitu 19 kerusi berbanding parti lain.

Semalam, ADUN Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berharap Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN), dapat merangka mekanisme untuk merealisasikan hasrat ADUN serta pemimpin PH Sabah dapat menjadi sebahagian daripada Kerajaan Sabah.

Ini kerana ujar Ewon PH, GRS dan BN telah bersama membentuk kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan dan berharap ada mekanisme bagaimana perpaduan itu diperkasakan di peringkat Kerajaan Negeri serta bagaimana PH boleh menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah.

Untuk rekod, kedudukan PH Sabah di dalam DUN yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan UPKO masih di blok pembangkang bersama WARISAN namun di peringkat persekutuan PH, Warisan, GRS dan BN bersama Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loading...
Terkini