Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 bermula pagi ini dengan lebih 2,000 perwakilan parti dari seluruh negara berada di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di ibu negara.
Berdasarkan aturcara perhimpunan, perbahasan dari perwakilan bermula sekitar jam 8.50 pagi tadi dimulakan EXCO Puteri yang juga Ketua Puteri UMNO Setiawangsa, Siti Nor Hasyyati Abd Rahman.
Siti Nor Hasyyati dalam perbahasan ucapan dasar Presiden menekankan semua ahli perlu menyesuaikan diri mengikut masa dan keadaan, selain menjuarai isu rakyat terutama di luar bandar dan orang Melayu.
Ia disusuli beberapa perwakilan dari Terengganu, yang akan dibahaskan oleh Mohd Iskandar Jaafar dan perwakilan Kedah, Datuk Aminuddin Omar.
Selain perwakilan dari Pulau Pinang, Ketua Bahagian Nibol Tebal, Rashidi Zinol dan EXCO Wanita, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.
Manakala sesi Penggulungan pula dijangka bermula sekitar jam 3.30 petang yang akan dimulakan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan seterusnya Ketua Pemuda, Dr Muhammad Akmal Saleh serta Ketua Wanita, Datuk Seri Noraini Ahmad pada jam 4 petang.
Penggulungan dari ketiga-tiga Naib Presiden yang terdiri daripada Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula dijangka bermula sekitar jam 4.15 petang.
Seterusnya kemuncak hari terakhir PAU 2024 akan berlangsung sekitar jam 5.30 petang apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat penggulungan Presiden selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat penggulungannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.