Tumpuan :
Nasional

Hamzah, Muhyiddin, Hadi tak hadir sesi PMQT

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mempertikaikan kegagalan tiga pemimpin utama pembangkang, hadir di Dewan Rakyat, bagi bertanyakan soalan ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), hari ini.

Mereka ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata pembangkang khususnya pimpinan utama mereka seharusnya mengambil peluang terbaik untuk membangkitkan soalan, berdepan dan bersemuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi PMQT itu.

“Pagi ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan mengenai hasil lawatan rasmi ke China, isu vape dan doktor kontrak.

“Malangnya, sekali lagi Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang tidak hadir dan tidak bertanyakan soalan,” katanya melalui laman sosial, hari ini.

PMQT yang diperkenalkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, bermula 13 Februari lalu, diadakan pada setiap Selasa dengan memperuntukkan Perdana Menteri menjawab sebanyak tiga soalan bagi setiap sesi.

Pada masa sama, Fahmi berkata, pada sesi PMQT hari ini, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof turut hadir.

Pada 28 Mac lalu, Fahmi turut mempertikaikan tindakan tiga pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN) itu yang didakwa gagal memanfaatkan sesi PMQT selepas tidak hadir di Dewan Rakyat ketika sesi terbabit berlangsung.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dalam kenyataan balasnya di Facebook, mendakwa hanya Ahli Parlimen disebut oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, sahaja boleh bertanyakan soalan melalui sesi PMQT.

Malah beliau mendakwa, Yang Dipertua hanya membenarkan satu soalan tambahan daripada penyoal asal, serta satu lagi soalan tambahan daripada pihak satu lagi.

“Yang lain tidak boleh bertanya apa-apa dan amat jarang bilangan penyoal ditambah.

“Maksudnya, kalau giliran saya tanya soalan asal, hanya saya saja dari sebelah PN boleh tanya satu soalan tambahan, dan hanya seorang lagi dari kerajaan boleh tanya satu soalan selepas soalan saya. Ahli Parlimen lain tak boleh,” katanya.

Pada masa sama, Wan Saiful berkata, sesi PMQT perlu diperbaiki seperti PMQT Westminster yang mana ketua pembangkang wajib diberi slot untuk menyoal Perdana Menteri.

“Jadi janganlah beri gambaran seolah-olah dalam slot PMQT ini, ketua pembangkang atau ketua parti boleh turut serta dalam tanya soalan.

“Tak boleh pun sebenarnya. Jangan spin (pusing) ke arah persepsi yang salah,” katanya.

Loading...
Terkini