SHAH ALAM: Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo, gagal mempertahankan jawatannya sebagai Pengerusi DAP Selangor kerana tewas dalam pemilihan Pemilihan DAP Negeri Selangor bagi penggal 2024-2027.
Pemilihan berlangsung sempena Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) hari ini.
Berdasarkan keputusan pemilihan yang diumumkan, Gobind yang juga Menteri Digital hanya memperoleh 675 undi, sekali gus gagal meletakkan namanya dalam kelompok 15 teratas untuk dilantik jawatan tertinggi DAP negeri.
Keputusan pemilihan menunjukkan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin meraih undi paling banyak iaitu 1,180 undi, diikuti Tiew Way Keng dengan 1,115 undi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han (1,058); ADUN Banting, V Papparaidu (1,028) dan Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau (1,020).
ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin pula memperoleh 88 undi; disusuli ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki (841); Lee Fu Haw (841); Ong Chun Wei (831) dan ADUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (825).
Selain itu, ADUN Sekinchan, Ng Sue Lim meraih undi sebanyak 819, diikuti R Rajiv (800), Leong Tuck Chee (795), Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (780) dan Ean Yong Hian Wah (753).
Ketika ini, mesyuarat sedang berlangsung bagi memilih jawatankuasa tertinggi DAP Selangor yang baharu dalam kelompok 15 individu yang meraih undi tertinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.