comscore
Tumpuan :
Politik

Gelora Parlimen-14, Buka Minda Pengundi

KUALA LUMPUR: Landskap politik tanah air menjadi agak kucar-kacir selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang menyaksikan kepimpinan negara ini diterajui oleh tiga Perdana Menteri daripada tiga pakatan berlainan sepanjang penggal Parlimen ke-14.

Kerusi nombor satu negara menjadi kerusi “panas” sejurus selepas PRU14 pada 9 Mei 2018. Tsunami Pakatan Harapan (PH) yang menamatkan era pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun hanya bertahan kira-kira 22 bulan selepas ia kehilangan suara majoriti di Parlimen pada hujung Februari 2020.

Sejak itu, kedudukan kerajaan yang mentadbir ibarat telur di hujung tanduk kerana ia wujud berdasarkan “sokongan” parti-parti politik berlainan ideologi, lantaran tidak ada sebuah pun parti politik yang boleh membentuk kerajaan secara solo kerana tidak mempunyai majoriti mudah 112 kerusi di Parlimen.

Justeru, pilihan raya umum yang dijangka berlangsung pada pertengahan bulan depan dilihat pemerhati politik berpotensi meredakan kecamuk politik tanah air kerana, kata mereka, rakyat, khususnya pengundi, sudah dapat menilai di antara “intan dan kaca” sepanjang penggal Parlimen ke-14.

Pengalaman yang mematangkan

Penganalisis politik Datuk Dr Jeniri Amir berkata sepanjang penggal Parlimen ke-14, rakyat dapat melihat parti mana yang dapat menerajui negara dengan lebih baik dalam mendepani pelbagai isu berbangkit.

“Rasanya rakyat telah buat penilaian parti mana lebih berhak untuk memimpin negara selepas mereka dapat lihat sendiri kelemahan dan kekuatan parti-parti itu yang (kesemuanya) telah diberikan amanah mentadbir negara,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pada PRU lepas, sebahagian besar pengundi memilih mengikut emosi dan mahukan perubahan selain ada isu-isu besar yang mempengaruhi sentimen rakyat, antaranya 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Sekarang 1MDB sudah tidak lagi menjadi ‘ibu’ segala isu. Kali ini, berbanding PRU14, tidak ada isu besar untuk PRU, kecuali isu-isu berkaitan kos sara hidup, ekonomi dan inflasi sahaja, tiada lagi isu yang betul-betul besar yang boleh mempengaruhi (sentimen) rakyat,” jelas Janiri yang juga Felow Kanan Majlis Profesor Negara (MPN).

Pada PRU14, gabungan PKR, DAP, Amanah dan Bersatu di bawah PH, berjaya memperoleh majoriti mudah, memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen. Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu diangkat menjadi perdana menteri pada 10 Mei 2018. Namun percaturan politik dalaman PH menyebabkan Dr Mahathir yang merupakan kali kedua menerajui kepimpinan negara, meletak jawatan pada 24 Feb 2020.

Pada masa sama, Bersatu bertindak keluar PH, sekali gus menyaksikan pakatan itu kehilangan majoriti mudah di Parlimen. Buat seketika, negara bagaikan kapal tanpa nakhoda. Namun rundingan di belakang tadbir membabitkan Bersatu, PAS dan BN, khususnya UMNO serta disokong ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) membolehkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020 di bawah payung Perikatan Nasional (PN).

Namun pada Ogos 2021, juga disebabkan percaturan politik, Muhyiddin terpaksa mengosongkan kerusi nombor satu tersebut dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Kira-kira 13 bulan selepas menerajui kepimpinan negara di bawah kerjasama longgar PN membabitkan BN khususnya UMNO, Bersatu dan PAS, serta sokongan GPS, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Okt lepas, sekali gus membuka laluan kepada PRU15.

Pengundi atas pagar

Jika sebelum ini pengundi “atas pagar” banyak memainkan peranan dalam “menaikkan” atau “menjatuhkan” seseorang calon yang bertanding, kali ini kata Jeniri sudah tidak patut wujud kelompok pengundi sedemikian.

“Saya fikir dengan pelaksanaan akta antilompat parti (Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022) keadaan sudah berubah, iaitu tidak akan berlaku lagi (lompat parti selepas pilihan raya), mana-mana wakil rakyat yang telah dipilih atau dicalonkan sedar akan risiko yang bakal dihadapi kalau mereka lompat parti.

“Jadi mengapa mereka (pengundi) harus jadi jadi golongan ‘putih’ yang berdiri atas pagar, tak buat keputusan semata-mata kerana memikirkan bahawa wakil rakyat itu nanti akan melompat parti sedangkan peraturan itu sudah dikuatkuasakan,” ujarnya.

Tegas beliau, peranan kira-kira 21 juta pengundi yang dijangka terlibat dalam PRU kali ini amat penting bagi “memastikan kerajaan yang akan wujud kelak adalah kerajaan yang betul-betul layak, yang akhirnya stabil, kerana hanya dengan kestabilan politik sahaja kita dapat memastikan segala dasar kerajaan dapat dilaksanakan sebaiknya.”

Pada masa sama, beliau berpendapat PRU kali ini memerlukan lebih 80 peratus keluar mengundi bagi memastikan kerajaan yang dipilih benar-benar kukuh.

Pengundi muda

Jeniri menyasarkan lebih 88 peratus pemilih akan membuang undi masing-masing pada PRU15 ini, mengambil kira keterujaan pengundi baharu, khususnya golongan berusia 18 tahun.

“Pengundi muda yang berusia 18 tahun dan merupakan kali pertama mengundi pada PRU tahun ini akan mewakili suara golongan muda. Pastinya mereka juga tidak mahu ketinggalan mengundi supaya dasar kerajaan yang ditumpukan pada mereka dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata pengundi baharu banyak memainkan peranan pada PRU14 kerana mereka mahu mengubah keadaan.

“Saya rasa pengundi baharu akan keluar mengundi apabila ada isu besar yang mereka rasakan penting dan perlu dibuat perubahan. Kalau tak ada isu besar, mungkin mereka berasa berada dalam zon selesa, (jadi) tidak perlu buat apa-apa. Ini yang saya nampak.

“Tetapi, saya rasa tidak perlu tunggu ada isu pun mereka seharusnya menunaikan tanggungjawab.

“Untuk undi 18 tahun, ada kalangan mereka merupakan pelajar IPT (institusi pengajian tinggi) yang boleh berfikir lebih baik dalam menentukan siapa yang layak mentadbir kerajaan akan datang,’’ katanya.

Pada 2019, Malaysia meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan usia layak mengundi dan menjadi calon pilihan raya kepada 18 tahun selain mendaftarkan golongan berusia 18 tahun ke atas sebagai pemilih secara automatik. Pindaan itu diwartakan dan dikuatkuasakan pada Disember 2021.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata sebanyak 7.8 juta pengundi baharu akan memilih pada PRU15, mewakili 34 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar.

Daripada jumlah itu, 3.8 juta mewakili golongan berusia 18 tahun ke atas.

Realistik

Dalam pada itu, Mohd Izani percaya parti-parti politik akan menghasilkan manifesto dan kempen yang lebih realistik berbanding PRU sebelum ini.

Katanya ini kerana rakyat akan bersikap lebih teliti dan rasional dalam menimbang manifesto yang diuar-uarkan oleh parti-parti bertanding.

“Ada parti politik bersifat populis, tabur janji manis terutamanya kepada anak-anak muda meskipun mereka sendiri mengetahui ia sukar untuk ditunaikan… Bagi saya, tidak perlu mainkan sentimen begini.

“Jangan terlalu berusaha sehingga dianggap penipu oleh pengundi… Pengundi waktu ini mungkin tidak lagi terdorong dengan emosi sepertimana PRU lepas dan saya berpandangan mereka lebih rasional dalam memilih (pada PRU kali ini),” katanya.
-BERNAMA

Loading...
Terkini