comscore
Tumpuan :
Nasional

Gagasan Rakyat perkukuh citra perjuangan GRS

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) melakukan gimik pelancaran logo baharu parti pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu, hari ini.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kehadiran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memperkukuh citra perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu jajaran lokal dan formula tempatan.

Gagasan Rakyat ujarnya sebagai sebuah wadah “Solidariti Suara Sabah” akan membawa citra kesatuan masyarakat berbilang kaum yang mendokong agenda Sayangi Sabah yang menjadi landasan GRS dengan teras perjuangan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

“Permuafakatan GRS bukan sekadar penting untuk kita di Sabah, malah amat bermakna untuk membina kesatuan dan kekuatan dalam memastikan kepentingan Sabah terus terbela dalam Persekutuan Malaysia”, katanya.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata demikian pada Majlis Pelancaran Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Katanya, berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi, rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal untuk menerajui kerajaan negeri.

“Memang benar, kita tidak seharusnya menolak kerjasama dengan parti nasional kerana kita perlu hidup dalam ekosistem federal dalam sebuah negara. Namun dari segi kerangka governan negeri, rakyat mahukan sebuah kerajaan yang diterajui citra lokal”.

“Kehadiran parti-parti bersifat nasional tetap relevan selagi semangat, teras, dan agenda perjuangan negeri tidak sesekali dikompromi. Sinergi elemen lokal dan nasional perlu berlandaskan kepada prinsip meletakkan kepentingan negeri sebagai agenda keutamaan (Sabah First) dan memposisikan kepentingan negeri itu sebagai komponen penting agenda nasional”.

“Ini kerana Sabah yang lebih maju dan jaya pastinya menyumbang kepada pembinaan Persekutuan Malaysia yang Madani iaitu konsep bercitrakan kemajuan yang lebih holistik merangkumi segenap aspek”, tegasnya.

Hajiji berkata, rakyat Sabah mahu negeri ini dipayungi oleh kerajaan yang berciri berbilang parti, bukan bersifat parti tunggal, sebuah kerajaan yang mempunyai elemen “check and balance” yang cukup kuat lagi inklusif.

Menurutnya lagi, jika ditinjau sejarah, tiga kerajaan pertama Sabah sebenarnya adalah parti tempatan, tetapi bersifat “parti tunggal”.

“Kita belajar dan mengambil teladan dari pengalaman panjang yang telah kita lalui bersama. Kita harus melaksanakan pembaharuan dengan model perkongsian kuasa yang lebih inklusif dan membina”.

“Kita harus mengelakkan daripada kuasa terpusat dengan sangat kuat kepada satu kutub tertentu, sama ada condong kepada kumpulan yang diwakili atau terikat kepada kecenderungan sesebuah kepimpinan”, tegasnya.

Hajiji turut mengajak dan menyeru rakan-rakan daripada parti-parti lain yang berkongsi agenda perjuangan untuk menganjak kerjasama yang lebih bernilai dan bermakna dengan GRS atas landasan Muafakat Sabah.

Katanya, muafakat ini perlu disimpul bukan hanya di peringkat kepimpinan, malah perlu dikembangkan ke peringkat akar umbi.

Beliau berkata, GRS akan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjunjung dan mengiktiraf hak dan kepentingan Sabah, termasuk menghormati kebebasan dan keabsahan pemimpin dan rakyat Sabah dalam menentukan barisan kepimpinan teraju kerajaan negeri.

“Sebagaimana peristiwa mutakhir yang telah kita lalui baru-baru ini, kita amat menghargai budaya dan komitmen politik kepimpinan parti-parti nasional yang menghormati keputusan pemimpin-pemimpin tempatan dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri. Pendekatan ini sekali gus memelihara kredibiliti dan legitimasi para pemimpin mereka di peringkat negeri yang dipilih oleh rakyat akar umbi di Sabah”, tegasnya.

Gagasan Rakyat telah diambil alih bekas pemimpin BERSATU Sabah yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor secara rasmi mengetuai parti itu 5 Februari lalu.

Gagasan Rakyat yang menjadi landasan baharu politik bekas ahli dan pemimpin BERSATU Sabah kini sudah memiliki kira-kira 100,000 ahli.

Ketika ini Gagasan Rakyat mempunyai 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk lima bekas ADUN UMNO dan empat bekas ADUN WARISAN yang mengumumkan keluar parti Februari lalu.

Ia menjadikan Gagasan Rakyat sebagai parti yang memiliki paling ramai ADUN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini selain parti terbesar dalam kerjasama GRS

Loading...
Terkini