Tumpuan :
Politik

Ekonomi Gig, Pembangunan Felda antara yang perlu diberi perhatian – Presiden UMNO

Oleh: Shuhadah Marzuki

KUALA LUMPUR: UMNO menggariskan 5 perkara yang dapat membantu memenuhi aspirasi rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata, kerajaan harus menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bertujuan mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna.

UMNO turut meminta kerjaaan memperkenalkan pelan FELDA 5.0 bagi menyediakan perancangan untuk generasi kelima FELDA.

Pelan itu merangkumi penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa.

Kerajaan juga diminta untuk memastikan pengagihan ekonomi dan kekayaan negara dapat dikongsi bersama khususnya buat masyarakat desa bertujuan menoktahkan kemiskinan penduduk desa.

Pelaksanaan semula pembangunan High Speed Rail (HSR) juga harus disegerakan selain memastikan pembinaan ECRL dan Pan Borneo disiapkan mengikut jadual untuk dimanfaatkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

UMNO juga mahu kerajaan memastikan kebajikan penjawat awam dan pasukan keselamatan terus terbela khususnya dalam aspek perumahan, bebanan tugas guru, perlindungan hak sebagai pekerja, dan memastikan pasca pandemik ini, perkhidmatan kesihatan dipertingkatkan termasuk menyelesaikan isu perkhidmatan doktor kontrak.

Loading...
Terkini