KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tidak akan dibubarkan lebih awal bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya dijangka bubar sebelum tamat penggal akhir bulan depan.
Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali, berkata ini kerana kerajaan negeri sibuk dengan pelbagai program sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu bermula 15 Jun hingga 26 Jun.
“Tetapi yang jelas penggal tarikh akhir pemerintahan kerajaan negeri adalah akhir bulan depan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain Terengganu, PRN turut berlangsung di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Kelantan. Tempoh penggal berakhir di setiap negeri berbeza.
Yahaya berkata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang akan menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin antara 27 dan 29 Jun.