PRN: Jangka bubar DUN hujung Mei – MB Negeri Sembilan
Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka akan dibubarkan Mei ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) itu berkata, ia berdasarkan perbincangan secara tidak rasmi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi negeri terlibat berhubung perkara itu sebelum menghadiri perjumpaan Majlis Raja-Raja tempoh hari.
“Kita sudah bincang secara tidak rasmi dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam pertemuan sebelum menghadiri Majlis Raja-Raja tempoh hari.
“Pada dasarnya, kita setuju untuk adakan pilihan raya pada bulan Mei.
“Maksudnya, bubar pada bulan Mei, tarikh pilihan raya itu terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi itulah perbincangan awal,” katanya selepas menghadiri Konvensyen PKR Negeri Sembilan di Seremban malam tadi.
Tambahnya, jentera PKR perlu bersiap sedia sekiranya perkara itu berlaku.
Enam negeri yang akan terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Mengulas mengenai sama ada Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), beliau berkata perkara itu diserahkan kepada Majlis Pimpinan PH.
Beliau bagaimanapun berharap keputusan berkaitan perkara itu dapat dimuktamadkan menjelang Februari ini bagi memudahkan pembentukan strategi selain melancarkan proses pengagihan peruntukan dan sebagainya.