Tumpuan :
Politik

‘Dulu Duduk Dengan DAP, Sekarang Tuduh DAP Komunis’

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), hari ini.

IPOH: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menafikan dakwaan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan parti itu dengan fahaman komunisme dan menyindir Presiden PAS itu ‘lupa’ beliau pernah bekerjasama dengan DAP.

Loke menegaskan, DAP sudah sekian lama mengakui secara terbuka menyokong Perlembagaan Persekutuan, khususnya peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau turut menyindir Abdul Hadi, dengan mengingatkan penyandang kerusi Parlimen Marang itu yang ‘mungkin terlupa’ bahawa PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan duduk sebelah-menyebelah dengan pemimpin parti yang dituduh berfahaman komunis itu.

“Kita bukan komunis. Orang yang cakap DAP komunis ini, dia pun pernah bekerjasama dengan ‘komunis’.

“Adakah dia sudah lupa, dia pun duduk bersama (Pengerusi DAP) Lim Guan Eng, (veteran DAP) Lim Kit Siang dan tandatangan dokumen bersama DAP. Mungkin dia sudah lupa,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH), di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Hadi memuat naik poster tertulis ‘#TolakDAP pro-komunis’ dan menyifatkan komunisme sebagai fahaman yang menolak kepercayaan kepada Tuhan.

Presiden PAS itu mengaitkan tiga tindakan DAP dengan fahaman komunisme, iaitu membawa pulang abu mayat Chin Peng, menyertai perhimpunan memperingati komunis dan menerbitkan komik berideologikan komunisme.

Dalam pada itu, Loke menegaskan, beliau sudah membayangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi ke-112 pada 19 November depan, sekali gus sekali lagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Tidak lama selepas itu, Ketua Setiausaha PH akan terima panggilan daripada Istana Negara menjemput Pengerusi PH untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 9 pagi, untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Itu gambaran yang saya bayangkan ketika ini. Saya seorang yang penuh dengan mimpi dan impian. Mimpi dan impian boleh jadi realiti,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini