Tumpuan :
Nasional

Dua sayap UMNO dapat ketua baharu, Wanita kekal

KUALA LUMPUR: Keputusan pemilihan sayap UMNO 2023 menyaksikan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO masing-masing diterajui muka baharu.

Manakala Wanita UMNO kekal dikemudi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Samad berkata Noraini yang juga ahli Parlimen Parit Sulong mempertahankan jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO bagi penggal 2023-2026 selepas memperoleh 112 undi daripada bahagian.

Shahrir berkata, jawatan Naib Ketua Wanita UMNO turut dikekalkan penyandang iaitu Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim yang memperoleh 123 undi.

“Jawatan Ketua Pemuda UMNO dimenangi Mohamad Akmal Salleh manakala Naib Ketua Pemuda UMNO dimenangi Mohd Hairi Mad Shah,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Akmal yang juga ADUN Merlimau dan Hairi, ADUN Larkin, masing-masing adalah EXCO pentadbiran Melaka dan Johor.

Shahrir berkata, jawatan Puteri UMNO dimenangi bekas Naib Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan jawatan Naib Ketua disandang Siti Sokhleha Nordin.

Nurul Amal menewaskan lima pesaing iaitu Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar; Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun; Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; EXCO Puteri UMNO, Fadwah Anuwar dan Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan.

Shahrir berkata, 188 bahagian Wanita UMNO bersidang pada pemilihan kali ini manakala Pemuda dan Puteri masing-masing membabitkan 187 dan 189 bahagian.

Loading...
Terkini