KOTA BHARU: Dua calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama dan Galas memberi masa tujuh hari kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataannya melabel mereka menolak perjuangan Islam.
ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, tindakan memfailkan saman sivil di mahkamah akan dilakukan jika permohonan maaf secara terbuka gagal dibuat.
“Kenyataan yang dibuat Menteri Besar pada pagi kelmarin ketika menyampaikan kuliah agama di Dataran Ilmu dengan mengatakan dua calon BN-PH yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan baru-baru ini sebagai menolak perjuangan Islam tidak sepatutnya dibuat oleh pimpinan tertinggi negeri.
“Mewakili 10,742 rakyat Galas yang mengundi BN dan 9,691 rakyat Kota Lama mengundi PH, kami amat tersinggung dengan pernyataan Menteri Besar ini yang saya anggap sebagai melampau dan ekstrem.
“Kenyataan itu seolah-olah menentang PAS seperti menentang perjuangan Islam adalah budaya takfiri yang boleh memecah belahkan rakyat dan masyarakat. Pastinya kenyataan ini menjurus kepada perselisihan faham iaitu menuduh pengundi BN sebagai penentang sedangkan saya sebagai seorang Islam yang lahir dan insya-Allah mati sebagai umat Islam tidak sesekali akan menentang Islam.
“Pandangan saya, ucapan Menteri Besar yang bernada sinikal dan angkuh itu wajar dihindari pada masa akan datang,” katanya pada sidang media, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, Mohd Syahbuddin turut menggesa supaya Menteri Agama, mufti serta alim ulama turut memberikan pandangan berkaitan kenyataan Menteri Besar Kelantan.
“Saya sudah mengarahkan peguam saya untuk menghantar notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka kepada Galas dan Kota Lama serta rakyat Kelantan yang mengundi BH-BN.
“Saya yakin pengundi PH-BN di Kelantan kekal teguh mempertahan Islam, bangsa dan tanah air tanpa prejudis. Kita tidak boleh berkompromi dan membiarkan ucapan serta budaya pemecah belah umat berterusan dalam negeri ini.
“Sebagai Menteri Besar, sewajarnya pendekatan perpaduan dan penyatuan menjadi pilihan berbanding tuduhan melulu,” katanya.
Terdahulu, Mohd Nassuruddin dalam satu rakaman video yang tular mendakwa kemenangan PAS dalam PRN baru-baru ini adalah kemenangan perjuangan Islam.
Beliau turut menyifatkan dua kerusi yang dimenangi PH-BN sebagai pihak yang ‘menentang perjuangan Islam’.
Sementara itu, Dr Hafidzah turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu sebagai khurafat politik yang perlu ditentang.
“Kita tidak boleh diam kerana ini seolah-olah kenyataan yang dibuat Menteri Besar itu adalah betul,” katanya.