Tumpuan :
Politik

[VIDEO] Dr Muhammad Faiz letak jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU

 

KUALA LUMPUR: Dr Muhammad Faiz Na’aman mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU termasuk berhenti sebagai ahli parti itu.

Beliau turut mengutuskan surat kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari ini mengenai keputusannya itu.

Dalam surat berkenaan, beliau menjelaskan bahawa keputusannya itu adalah secara sukarela dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Keputusan yang saya ambil ini itidak dipengaruhi oleh mana-mana pihaik, dibuat secara sukarela dan berdasarkan prinsip yang saya pegang di mana saya tidak boleh lagi mewakili kepimpinan parti kerana mempunyai pertentangan pendapat, idea serta visi mengenai pengurusan dan hala tuju BERSATU.

“Saya ucapkan terima kasih ke atas segala peluang yang telah diberikan oleh kepimpinan parti selama tujuh tahun saya bersama dalam parti ini, sejak ia ditubuhkan pada 2016,” katanya.

Dr Muhammad Faiz Na’aman

Dalam kenyataan berasingan, Dr Muhammad Faiz juga mendakwa BERSATU sudah terpesong dari objektif awal penubuhannya untuk memberi lebih ruang kepada ramai orang muda dan muka baharu yang berkelayakan.

“Pemilihan calon yang berat sebelah kepada pihak kartel tertentu serta calon bidan terjun yang baharu dijadikan ahli parti, hanya semata-mata untuk dipertandingkan dalam PRN Selangor menyebabkan terdapat pemberontakan kira-kira di sembilan bahagian BERSATU di negeri itu,” katanya.

“Malah kelemahan Lembaga Disiplin Parti menyebabkan watak-watak yang telah keluar dan mengkhianati parti, boleh kembali seterusnya dipilih menjadi calon pada PRN ini.

“Justeru, adalah tidak menghairankan jika BERSATU tidak lagi menjadi wadah tumpuan penghijrahan mereka dari parti-parti lain atau menjadi sasaran kemasukan anak-anak muda serta orang baharu dalam politik,” katanya.

Pada PRU-15, Dr Muhammad Faiz bertanding mewakili PN bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk namun tewas dengan memperoleh 8,822 undi.

Loading...
Terkini