Tumpuan :
Nasional

Dr Mashitah gagal tewaskan Hasita di Kuala Kedah

ALOR SETAR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, tewas tipis 16 undi dalam saingan pemilihan Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah.

Perkara itu disahkan Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man, susulan pemilihan semula diadakan bagi Wanita UMNO bahagian itu pada Rabu lalu, berikutan wujud percanggahan ketika proses pengiraan undi pada Sabtu lalu.

Mashitah yang turut tewas dalam saingan di Parlimen Kuala Kedah ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, diumum tewas kepada penyandang, Noor Hasita Mat Isa.

“Noor Hasita memperoleh 285 undi sekali gus memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Kuala Kedah, berbanding berbanding Mashitah yang mendapat 269 undi,” katanya.

Difahamkan, proses pemilihan semula untuk Wanita Bahagian Kuala Kedah berlangsung di Bangunan Tunku pada Rabu lalu dengan 555 daripada 762 perwakilan layak mengundi hadir dalam pemilihan semula itu.

Sabtu lalu, berlaku percanggahan dalam pemilihan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah ketika proses pengiraan undi, apabila Jawatankuasa Pemilihan Bahagian Kuala Kedah mendapati 570 kertas undi diterima selepas pengundian berbanding 521 perwakilan yang hadir.

Loading...
Terkini