Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Keahlian Datuk Harrison Hassan sebagai ahli UMNO gugur secara automatik apabila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh itu dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) mewakili Perikatan Nasional (PN).
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan Perlembagaan UMNO dan juga peraturan dalam Lembaga Disiplin parti.
“”Kita mendengar khabar angin mengenai perkara itu kira-kira sebulan yang lalu, tetapi apabila ia disahkan untuk bertanding atas tiket parti lain, maka mengikut Perlembagaan UMNO dan juga peraturan dalam Lembaga Disiplin parti, secara automatik tergugur keahliannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Bilangan 2 Tahun 2023 di sini hari ini.
Harrison dinamakan sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Jeram bagi PRN Selangor seperti diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak terkejut dengan pencalonan berkenaan.
“Saya sudah dengar (khabar angin) sebulan lalu, jadi saya tidak terkejut dengan perkara itu. Kita hanya memerlukan ahli yang taat kepada parti, jika mereka lebih taat kepada parti lain maka, itu pilihan dibuat oleh individu berkenaan,” katanya.
Ditanya ura-ura bahawa UMNO menuntut jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya memenangi PRN, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan.
Sebaliknya tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, sebarang perbincangan perlu diputuskan selepas hari mengundi pada 12 Ogos ini.
“Kita yakin apa yang penting ialah sekurang-kurangnyanya tiga negeri yang sedia ada di bawah Kerajaan Perpaduan (Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan) untuk memenangi semula negeri berkenaan. Jangan pernah terfikir untuk lebih daripada memenangi kerusi-kerusi yang sudah diperuntukkan kepada parti.
“Tiga negeri yang bukan di bawah Kerajaan Perpaduan (Kedah, Kelantan, Terengganu) kita mesti berusaha dengan lebih kuat dan penuh kebijaksanaan politik untuk kita meraih dukungan daripada pengundi di negeri berkenaan,” katanya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata, sebarang urusan penentuan dan pembentukan kerajaan negeri termasuk untuk jawatan Timbalan Menteri Besar, disifatkan terlalu awal untuk diputuskan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan PH-BN sebelum menentukan perkara berkenaan.