Tumpuan :
Politik

Desas desus Nik Abduh, Che Abdullah bertanding atas tiket BN?

 

KOTA BHARU: Dua penyandang Parlimen dari PAS yang dikatakan tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin akan bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Desas desus itu membabitkan penyandang Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan penyandang Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Kedua-dua mereka dikatakan tidak dicalonkan pada PRU-15, namun masih bertanding di kerusi berkenaan dipercayai menggunakan tiket BN.

Bagi Parlimen Tumpat, PAS dikatakan meletakkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad sebagai calon.

Manakala, di Parlimen Bachok pula, PAS dijangka meletakkan Dr Wan Martina Wan Yusuff sebagai calon di kerusi berkenaan.

Desas desus itu dikatakan hampir tepat apabila Nik Mohamad Abduh semalam memuat naik gambar bumi berwarna biru di Facebook sehingga mendapat reaksi balas warganet.

Turut tersebar sejak pagi tadi poster ucapan tahniah kepada Che Abdullah kerana terpilih sebagai calon BN di Parlimen Tumpat.

Bagaimanapun, usaha mendapat reaksi kedua-dua penyandang Parlimen berkenaan setakat ini gagal apabila masing-masing tidak menjawab panggilan telefon.

Terdahulu, PAS enggan membuat sebarang spekulasi berhubung gambar bumi berwarna biru dimuat naik di Facebook Nik Mohamad Abduh Nik Abduh semalam.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata perkara itu perlu dirujuk kepada pihak terbabit.

Loading...
Terkini