Oleh : Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyarankan agar perlembagaan negara dipinda supaya tempoh parlimen ditetapkan kekal lima tahun penuh selepas pilihan raya umum.
Menurut Datuk Mohamed Nazri, pandangannya itu telah pun dikemukakan kepada Perdana Menteri Jumaat lalu sebagai pendekatan bagi menjamin negara tidak lagi diancam ketidaktentuan politik seperti masa lalu.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Padang Rengas turut menjelaskan perubahan pada perlembagaan itu dapat menyakinkan rakyat bahawa kerajaan yang dipilih akan berkuasa sepanjang tempoh itu.
Ia juga katanya berkait rapat dengan sentimen dan persepsi pelabur asing mengenai Malaysia.
“Perlu ada kestabilan politik, sebab dia (pelabur asing) bimbang kalau tiada kestabilan politik, kerajaan baharu akan menukar polisi, mereka yang telah melabur akan hilang keyakinan apabila polisi kerap ditukar, sebab itu perlunya kestabilan politik,” jelasnya kepada saya dalam satu wawancara khas baru-baru ini.
Beliau pulang ke tanah air bagi mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang berakhir Sabtu lalu.
Tambah beliau lagi, cadangan itu sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh pemerintahan kerajaan semasa bagi membolehkan dasar-dasar berkesan digubal dan diluluskan demi kebaikan rakyat.
Cadangan itu juga ujarnya ke arah memastikan parlimen tidak dibubarkan sewenang-wenangnya.
Manakala wakil rakyat pula tidak rakus kuasa, mengatur langkah menjatuhkan kerajaan.
Susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU 2018, negara menyaksikan pertukaran kuasa melibatkan tiga Perdana Menteri sebelum PRU 15 yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan di bawah teraju Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi mengetahui sejauhmana ia boleh dilakukan, saya mendapatkan pandangan pakar perlembagaan Prof Madya Datuk Shamrahayu Ab. Aziz.
Tegasnya cadangan untuk meminda perlembagaan itu mempunyai pelbagai implikasi khususnya terhadap kuasa institusi diraja.
Memberi contoh apa yang berlaku di United Kingdom, tindakan memperkenalkan undang-undang menetapkan tempoh parlimen, pada 2011 katanya, tidak bertahan lama.
“Namun pada tahun 2022 akta yang berkaitan yang menetapkan tempoh khas kepada parlimen ini telah dimansuhkan.
Jadi pengajaran dari negara itu menunjukkan ia bukanlah satu langkah yang boleh menyelesaikan masalah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Mohamed Nazri yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengingatkan BN yang ditunjangi UMNO agar tidak taksub dengan jumlah kerusi untuk ditandingi pada enam plihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Justeru pintanya tumpuan diberikan kepada kesiap-siagaan untuk memenangi PRN menerusi kerjasama dengan sekutu politik di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya lagi walaupun menghadapi pelbagai cabaran, kepimpinan parti berjaya mempertahankan kuasa politik UMNO.
Meskipun hanya menguasai 30 kerusi parlimen, BN antara sekutu utama PH dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sebab tu saya sokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Walaupun kita kalah tetapi kita berkuasa. Hari ni PN sakit hati sangat kenapa? PAS sakit hati sangat kenapa? Menang pilihan raya tiada kuasa,” selorohnya menutup perbualan.