comscore
Tumpuan :
Politik

Dakwaan ugut sokong PM, kemukakan bukti – Fahmi

 

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil

Kuala Lumpur: Meskipun terdapat dakwaan kononnya ada pihak diugut dan ditawarkan habuan untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, pihak berkaitan boleh kemukakan bukti dan membuat laporan kepada polis.

“Penting diingatkan bahawa Perdana Menteri atau ahli jemaah menteri tidak ada apa-apa campur tangan, ugutan atau habuan dan sebagainya yang ditawarkan, tidak ada.

“Jadi seperti ditegaskan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri kepada sesiapa yang berpandangan berlainan daripada kenyataan ini, mereka boleh buat laporan, bawa bukti dan kita nilai, tetapi setakat ini tidak ada (laporan polis),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Nordic 2023 malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya wujud unsur-unsur ugutan atau ganjaran habuan tertentu, susulan tindakan empat Ahli Parlimen Bersatu yang terdiri daripada Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Mengenai kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bahawa beliau akan menyokong Anwar sekiranya peruntukan diberikan untuk kawasannya, Fahmi sekali lagi menegaskan tiada tawaran atau habuan kepada sesiapa yang ingin menyokong Perdana Menteri.

Ditanya mengenai tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap Anwar sebenarnya telah menafikan desas-desus bahawa hayat Kerajaan Perpaduan akan berakhir, Fahmi menyifatkan situasi berlaku ketika ini adalah ‘complete reverse’.

“Nampaknya apa yang berlaku sekarang ini adalah ‘complete reverse’ daripada apa yang disangkakan… Sejujurnya saya boleh kata saya tidak sangka sokongan terhadap Perdana Menteri boleh meningkat menjadi 151.

“Jadi kalau nak dikatakan bukanlah Kerajaan Perpaduan yang hadapi pergolakan, tetapi mungkin sesetengah parti dalam pembangkang yang sekarang ini sedang bergolak,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak ‘menangguk di air keruh’ sebaliknya akan meneruskan semua usaha dan dasar-dasar yang telah diumumkan termasuk Kerangka Ekonomi MADANI.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini