KOTA KINABALU : Keratan berita yang tular di media sosial mendakwa kononnya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, petang semalam adalah palsu.
Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri Jaafar Abd Wahid dalam kenyataan berkata gambar keratan berita itu sebenarnya adalah berita selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 (PRN-16) tahun 2020, namun ruangan tarikh berita disiarkan sengaja dipotong, dipercayai untuk mengelirukan pembaca.
Beliau berkata keratan berita daripada portal itu sengaja disebarkan individu tidak bertanggungjawab ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hampir dan tidak sepatutnya dilakukan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Saya menerima beberapa panggilan dan mesej bertanyakan kesahihan berita tersebut sedangkan pada sebelah pagi saya bersarapan bersama Bung Moktar di kediamannya sebelum menghantar beliau pada sebelah petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk ke Kuala Lumpur.
“Ketua Menteri (Hajiji) pada hari tersebut pula berada di Kota Marudu dalam program Jelajah GRS (Gabungan Rakyat Sabah)…keratan berita ini disebarkan individu yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial terutama WhatsApp sehingga menimbulan persoalan kepada orang ramai,” katanya di sini hari ini.
Semalam, keratan berita itu merupakan antara perkara menimbul persoalan tentang status Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah berikutan khabar angin mengatakan terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) GRS bakal keluar parti mengikut jejak Adun Bandau Datuk Wetrom Bahanda.
GRS dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan Sabah dengan sokongan 53 Adun, berbanding pembangkang 25 Adun.
Jaafar berkata, keratan berita itu telah dipergunakan lasykar siber atau cybertrooper pembangkang bagi memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan penyokong kerajaan terutama GRS dan BN berdepan PRU-15.
“Saya meminta orang ramai agar jangan mudah mempercayai berita palsu dan menyebarkannya sebelum mendapat kesahihannya,” katanya. – Harian Metro