KUALA LUMPUR: Tindak-tanduk ‘cybertrooper’ Pakatan Harapan (PH) yang gemar menyebarkan berita palsu dengan tujuan menimbulkan persepsi menyebabkan masyarakat kurang senang dengan gabungan itu.
Perkara itu dimaklumkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang turut mendakwa perangai laskar siber PH itu juga menjadi satu liabiliti kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Antara sebab saya dan sebahagian besar rakyat tidak berapa senang dengan PH adalah kerana perangai laskar siber PH. As much as (sebanyak mana) mereka fikir mereka (laskar siber) cuba membantu kerajaan sedia ada tetapi sebenarnya mereka adalah liabiliti kepada Perdana Menteri,” katanya ketika bercakap pada ada podcast ‘Keluar Sekejap’ hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Khairy menafikan dakwaan di media sosial bahawa beliau ditawarkan jawatan Timbalan Presiden BERSATU, selain dicalonkan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.
“Banyak spekulasi dan banyak juga yang membuat pengumuman bagi pihak saya, termasuk pihak laskar siber PH. (Mereka) menyebarkan berita palsu kononnya saya dilantik sebagai Timbalan Presiden (Lantikan) BERSATU dan diberi kerusi (DUN) Kota Damansara.
“Pastinya ini akan memberikan persepsi dan selepas itu akan terima banyak komen. Modus operandi mereka mudah iaitu mencipta berita palsu dan disebarkan hingga mendapat komentar yang membentuk persepsi. Janganlah sebarkan berita palsu kerana ia tak beretika dalam politik,” katanya. – BERITA HARIAN