comscore
Tumpuan :
Politik

Chris Lee umum tarik diri sebagai calon PRN 2023

GEORGE TOWN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit daripada parti DAP mengumumkan enggan dicalonkan semula dalam pilihan raya negeri (PRN) 2023 susulan masalah kesihatan.

Menerusi kenyataan di Facebook, beliau berkata keputusannya itu adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Begitu pun, beliau berterima kasih pimpinan parti, keluarga dan rakan-rakan yang menyokongnya.

Dedah Lee, beliau menghidap hipertiroidisme sejenis penyakit keturunan.

“Kadar nadi rehat saya kerap melebihi 100 dan ujian Free T4 (bagi mengesan tiroid) adalah hampir tiga kali ganda dari paras normal,” katanya.

Tambahnya, selepas berbincang dengan pemimpin parti dan keluarga, beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding dalam PRN yang akan datang ini kerana mahu memberi keutamaan kepada kesihatannya.

Dedah Lee, berat badannya sepanjang lima tahun lalu (tempoh sebagai Adun) sentiasa “turun naik” terutama semasa pandemik Covid-19 pada 2021 apabila badannya susut ke tahap paling rendah sepanjang hidupnya.

Lee turut memaklumkan bahawa ibu bapa dan kakaknya yang menghidap autistik masih bergantung kepadanya.

Beliau memberi jaminan akan kembali berkhidmat kepada penduduk sebaik semua perkara itu berjaya diatasinya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dijangka mengadakan sidang media petang ini bagi mengumumkan calon bagi PRN Pulau Pinang.

Lee 41, adalah Adun Pulau Tikus selama sepenggal sejak Mei 2018.

Loading...
Terkini