comscore
Tumpuan :
Politik

Chow tidak pertahan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dalam pemilihan parti negeri akan datang.

Katanya, beliau mengambil keputusan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu dalam melaksanakan rancangan penggantian kepimpinan negeri.

Ujarnya, DAP kebangsaan memaklumkannya bahawa beliau telah menerima pencalonan untuk bertanding dalam pemilihan jawatankuasa DAP negeri yang bakal berlangsung pada 22 September.

“Selepas membuat pertimbangan sewajarnya, saya telah membuat keputusan untuk tidak menerima pencalonan untuk bertanding.

“Apabila saya dilantik semula sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Negeri 2023, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook telah mengarahkan saya untuk melaksanakan rancangan penggantian kepimpinan negeri.

“Justeru, saya telah memutuskan untuk mengambil langkah pertama dengan memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk memimpin DAP Pulau Pinang dalam pemilihan jawatankuasa negeri.

“Saya berpendapat masa ini adalah sesuai mengambilkira Pengerusi DAP Pulau Pinang baharu akan mempunyai masa lebih tiga tahun untuk memimpin dan menyediakan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menaruh keyakinan terhadap perwakilan parti untuk memilih Jawatankuasa DAP negeri untuk meneruskan misi politik parti di Pulau Pinang.

Katanya, beliau mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan kepada parti dan ahli yang memberi sokongan kepada beliau selama menjawat jawatan Pengerusi DAP negeri selama 25 tahun, 8 tahun sebelumnya sebagai setiausahanya.

“Saya juga terhutang budi terhadap rakyat Pulau Pinang atas sokongan dan semangat yang diberikan kepada saya dalam perjalanan politik saya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini