comscore
Tumpuan :
Politik

PRK Nenggiri: Calon akan diumum minggu ini – Presiden UMNO

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Calon Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Nenggiri akan diumum minggu ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon yang akan diketengahkan adalah orang tempatan di kawasan itu dan mempunyai jawatan politik.

“Kita akan pilih calon yang terbaik dan mempunyai kriteria WALI ‘winnability” (boleh menang), “acceptibility” (kebolehterimaan) dan “likeability” (disenangi)” ujar Datuk Seri Ahmad Zahid ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Pelajar Industri Maritim & Automotif di ibu negara.

Terdahulu, pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ahmad Zahid juga memaklumkan, status keahlian ADUN Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis akan ditentukan oleh Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ujar Datuk Seri Ahmad Zahid lagi, perbincangan juga telah dilakukan bersama Datuk Seri Ab Rauf dan Presiden UMNO itu menyerahkan sepenuhnya kepada Datuk Seri Ab Rauf untuk melakukan tindakan.

“Saya serahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri Melaka dan tindakan-tindakan yang akan dilakukan itu kita akan bawa ke majlis tertinggi parti”.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhamad Jailani Khamis yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai PAS.

Keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.

Dengan perkembangan itu, komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kini dianggotai tiga wakil pembangkang, meningkat seorang berbanding selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini