![](https://media.buletintv3.my/2023/07/CMS-PP-2023-07-20T175407.682.jpg)
Oleh: Selwam Arjunan
BAYAN LEPAS: Senarai akhir calon DAP Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) dijangka diumumkan beberapa hari lagi.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata senarai cadangan calon telah diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Calon di peringkat pusat untuk dimuktamadkan.
“Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP Pulau Pinang telah bermesyuarat dan sudah kemukakan senarai cadangan calon kepada Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke).
Seterusnya, Jawatankuasa Pemilihan Calon pusat akan bermesyuarat dan buat keputusan muktamad.
“Saya difahamkan mesyuarat itu tidak dapat diadakan segera ekoran beberapa ahli berada di luar negara. Saya menjangka boleh bermesyuarat dalam 2,3 hari untuk keputusan muktamad,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Mentorconnect anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), di sini, petang tadi.
Katanya, senarai yang diserahkan itu mengandungi nama calon bagi 19 kerusi yang ditandingi DAP termasuk calon muka baharu, namun beliau enggan mengulas mengenai bilangan dan peratusan calon baharu terbabit.
Tambah beliau lagi, hasrat penyandang kerusi dan syarat pemilihan oleh Jawatankuasa Pemilihan pusat dipertimbangkan dalam penyediaan senarai calon berkenaan.
“Kita sudah berjumpa dengan semua penyandang kerusi dan mereka telah kongsikan hasrat masing-masing. Saya juga telah menyampaikan hasrat dan harapan pusat terhadap bakal calon yang dipilih.
“Jadi Jawatankuasa Pemilihan Negeri telah mengambilkira pandangan kedua-dua pihak berkenaan dalam siapkan senarai calon,” jelasnya lagi.
Katanya, PKR dan Amanah selaku parti komponen Pakatan Harapan dijangka mengumumkan calonnya di ibu negara dalam masa terdekat, disusuli pengumuman calon DAP di Pulau Pinang.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, DAP telah mencapai kemenangan 100% dengan memenangi kesemua 19 kerusi yang ditandinginya.