comscore
Tumpuan :
Politik

Calon bebas Perai janji sokong Chow jika menang

Oleh: Selwam Arjunan

PERAI: Calon bebas bagi kerusi Perai di dewan undangan negeri (DUN) Pulau Pinang, David Marshel memberi jaminan bahawa beliau akan menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri jika menang dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.

Menurut David, walaupun bertanding sebagai calon bebas, beliau tidak mempunyai sebarang masalah terhadap Chow, yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Sebaliknya, beliau hanya menentang Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang didakwa memilih calon-calon pilihannya sendiri dengan mengetepikan calon dicadang DAP negeri dan calon DAP-PH, Datuk Seri S.Sundarajoo yang digelar sebagai calon bidan terjun.

“Saya bersumpah di sini di hadapan anda semua pada hari ini. Jika saya diberi mandat untuk mewakili DUN Perai dalam PRN, saya akan masuk ke dewan undangan negeri dan menyatakan sokongan untuk Chow sebagai Ketua Menteri.

Saya berani bersumpah sebab saya tidak ada masalah dengan Chow, beliau seorang pemimpin yang jujur dan rendah diri. Ada pihak yang cuba menyebar berita bahawa saya akan sokong Perikatan Nasional, itu tidak benar sama sekali.

Sambil menyokong Chow, saya juga akan berdepan Lim dan memberitahunya secara bersemuka bahawa beliau telah melakukan kesilapan besar dengan menyingkirkan saya sebagai calon,” katanya dalam ceramah politik di Taman Chai Leng, di sini, malam tadi yang dihadiri kira-kira 100 penyokong dan orang awam.

Tambahnya, beliau kesal dengan tindakan Lim selaku Ahli Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP Kebangsaan yang didakwa menyingkirkan penyandang tiga penggal Dun Perai, Prof Dr P.Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang serta turut menyekat namanya yang disenaraikan sebagai calon kedua oleh DAP Pulau Pinang.

Katanya, beliau yang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Bandar Raya Seberang Perai selama 10 tahun telah banyak berkhidmat buat pembangunan Perai dan memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah di kawasan berkenaan.

Antaranya, kata beliau, pembinaan Taman Rekreasi Taman Kimsar dan Inderwasih, pembinaan pintu gerbang Taman Chai Leng, menyelesaikan masalah banjir kilat dan mempromosikan kawasan tumpuan makanan bagi meningkatkan ekonomi komuniti perniagaan.

Namun, ujarnya, ia telah diketepikan oleh jawatankuasa berkenaan dan memilih untuk membawa masuk calon payung terjun yang tidak dikenali serta tidak pernah memberi sumbangan kepada penduduk tempatan.

“Saya menuduh bahawa ini adalah rancangan Lim untuk kembali (sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang) dengan meminda perlembagaan negeri yang menguatkuasakan tempoh Ketua Menteri selama hanya dua penggal.

Pemimpin DAP mendakwa saya penipu kerana melemparkan tuduhan ini. Saya ingin tegaskan bahawa perlembagaan negeri boleh dipinda dengan majoriti dua pertiga dan ini akan digunakan oleh Lim (dengan sokongan calon pilihannya yang menang),” katanya lagi.

David telah meletakkan jawatan dalam DAP dan MBSP susulan tidak berpuas hati dengan barisan calon DAP Pulau Pinang, diikuti bekas Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy yang turut bertanding sebagai calon bebas.

Dun Perai menyaksikan pertembungan empat penjuru antara David (lambang pokok), Sundarajoo dari PH, S.Sivasuntaram dari Perikatan Nasional dan Viky dari Parti Muda.

Loading...
Terkini