Tumpuan :
Politik

Cabaran debat Saifuddin tidak bersahut

Saifuddin berseorangan ketika hadir Program Debat Perdana Indera Mahkota di Kuantan.

KUANTAN: Cabaran debat calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Indera Mahkota terhadap tiga lagi pencabarnya ‘tidak bersahut’.

Debat empat penjuru bagi calon Parlimen itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berlangsung malam tadi.

Bagaimanapun, hanya Datuk Seri Saifuddin Abdullah saja yang hadir dalam program debat berkenaan tanpa tiga lagi pencabarnya.

Saifuddin berkata, debat yang dianjurkan bukan mahu mencari siapa pemenang tetapi menjadi platform untuk semua calon memberi penerangan lanjut aspirasi yang mahu dibawa di Indera Mahkota.

“Semua calon patut ambil peluang berdebat untuk menerangkan situasi dan pembaharuan yang bakal dibawa untuk dinilai masyarakat di Parlimen itu.

“Kesempatan debat itu juga perlu direbut untuk memperjelaskan lebih terperinci mengenai manifesto calon dan parti diwakili,” katanya kepada NSTP.

Beliau yang juga Menteri Luar Negeri berkata, penganjur program itu menjemputnya menyertai debat dan terbuka untuk memberi penerangan lanjut mengenai manifesto sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, peluang sama turut diberikan kepada tiga lagi pencabarnya masing-masing dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

“Debat berkenaan dianggap sebagai dimensi politik baharu atau politik ilmu yang membolehkan calon mencari idea terbaik untuk pembangunan kawasan di Indera Mahkota.

“Ia juga memberi peluang kepada pengundi menilai kewibawaan calon yang akan menjadi wakil rakyat di Parlimen kelak,” katanya.

Indera Mahkota menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Quek Tai Seong (BN), Zuraidi Ismail (PH) dan Dr Mohamad Noor Sundari (GTA).

Dalam PRU-14, Saifuddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 10,950 undi. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini