comscore
Tumpuan :
Politik

‘Bubar Parlimen Sebelum Bajet Dibahas Dan Lulus Adalah Perbuatan Jijik’-Mahfuz

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharapkan tidak memperbudak-budakan rakyat dengan membentangkan Bajet 2023 tanpa sempat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, pembentangan bajet dilakukan setiap tahun oleh kerajaan untuk memberitahu jumlah perbelanjaan dan peruntukan yang akan digunakan pada tahun berikutnya.

“Bajet yang dibentangkan itu akan dibahaskan oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk menambah baik perkara yang telah dibentangkan.

“Selepas dibahaskan di Dewan Rakyat, Bajet 2023 juga akan turut dibahaskan di Dewan Negara sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak seharusnya membentangkan Bajet 2023 tanpa sempat dibahaskan oleh Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Katanya, tindakan membubarkan Parlimen tidak sepatutnya dilakukan, jika ingin dilihat sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat.

“Kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya bertindak kurang matang seolah-olah memberitahu rakyat, kalau mahu bajet ini maka kamu perlu undi kami.

“Tindakan sedemikian merupakan satu perbuatan yang jijik dalam sebuah negara demokrasi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu sedar seluruh Keluarga Malaysia sekarang berdebar-debar untuk berdepan musim tengkujuh bukan mengharapkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.–BERITA HARIAN

Loading...
Terkini