Tumpuan :
Politik

Bom ‘atom’ Pudin tak meletup – Sanusi

BALING: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyangkal dakwaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa beliau memberi kebenaran kepada pencuri unsur nadir bumi (REE) untuk memasuki Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata permit memasuki hutan simpan hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan beliau sendiri turut perlu mendapatkan kebenaran jabatan itu untuk memasuki hutan simpan.

“Ada satu persoalan nak jawab juga dekat pokka (sesumpah), saya takut bila kita tak jawab malam-malam dok hangguk. Ada orang hantar (mesej) kat saya kata Pudin (Saifuddin) buat sidang media kata lempar ‘bom atom’, dia kata Sanusi beri kebenaran kepada pencuri REE masuk hutan simpan.”

“Ni nak oyat (beritahu) mu Pudin, kebenaran masuk hutan simpan hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan bukan Menteri Besar dan bukan pejabat Menteri Besar, bukan pejabat daerah, hanya Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, bukan Menteri Besar cek oii,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program bersama calon PN serta penduduk Baling, di padang awam Kampung Lalang, Siong di sini, petang tadi.

Sebelum ini, Saifuddin pada sidang media mempersoalkan bagaimana pencuri REE boleh naik ke kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang dan melepasi empat pagar keselamatan yang kesemuanya berpengawal.

Katanya, tidak mungkin pencuri mineral terbabit dapat melepasi pagar-pagar berkenaan sekiranya mereka tidak diberi kebenaran oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah untuk sampai ke lokasi kejadian.

“Tiga hari lepas saya ditemani Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh naik ke lokasi kecurian. Tanah itu milik MBI dan logiknya, siapa yang letak kawalan di situ kalau bukan MBI.”

“MBI kemudian beri hak kepada Jaentique Sdn. Bhd. yang berikan pula kepada Mahir Binari Sdn. Bhd. Jadi siapa yang curi dan biarkan kecurian ini berlaku?”

“Mereka ini syarikat yang diberi kebenaran dan memang dalam pengetahuan MBI,” katanya.

Saifuddin berkata, apa yang berlaku menunjukkan Muhammad Sanusi tidak kompeten dan gagal mengawasi agensi di bawahnya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi MBI berkata Saifuddin turut boleh didakwa kerana memasuki hutan simpan berkenaan tanpa permit.

Katanya, Menteri Besar tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan permit memasuki hutan simpan seperti yang didakwa Saifuddin.

“Pudin kata Sanusi bawa keluar surat bagi kat orang masuk hutan simpan, hanya Jabatan hutan saja yang boleh beri kebenaran.”

Jadi bom atom tu tak meletop, kalau tak meletop tuan dia ambil taruh balik boh (letak) bawah katil malam-malam dia meletop oo, jaga,” katanya.

Muhammad Sanusi menegaskan beliau tidak sesekali akan mencampuri urusan agensi kerajaan dan hanya melakukan kerja mengikut bidang tugas masing-masing.

“Ini lah tata kelola kerajaan yang kita laksanakan selama tiga tahun, agensi buat keja agensi, jabatan buat kerja jabatan, EXCO buat keja EXCO, saya buat kerja saya (Menteri Besar), buat kerja masing-masing.”

“Kita tak campur gaul semua ni. Macam Pudin dia gaul ke semua masuk dalam guni dia hirit (mengasingkan bahan dengan kaki) sekali,” katanya.

Loading...
Terkini