comscore
Tumpuan :
Politik

‘Boleh masuk semula, namun sebagai ahli biasa dan perlu berikrar’ – Johari

 

Foto: NSTP

BUKIT GANTANG: “Boleh masuk semula, namun sebagai ahli biasa sahaja dan perlu berikrar tidak boleh lompat parti.”

Demikian jawapan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung status Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang melompat parti daripada UMNO menyertai BERSATU selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau berkata sesiapa sahaja yang pernah dibuang atau keluar daripada UMNO dan mahu menyertainya semula perlu melalui prosedur yang ditetapkan.

” Tidak kira siapa sahaja, walaupun dia pernah ingkar arahan parti selama dua penggal sekali pun kita boleh terima.

” Tetapi hanya jadi ahli biasa sahaja dan perlu ikut prosedur yang ditetapkan dan perlu berikrar.” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bukit Gantang di Hotel Taiping Perdana hari ini.

Datuk Syed Abu Hussin antara enam Ahli Parlimen yang dibuang dari BERSATU kerana memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan, belum membuat keputusan untuk menyertai parti mana sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bagaimanapun beliau menegaskan PRK sukar berlaku dan perkara itu tidak merubah kerajaan sedia ada sekiranya pihak pembangkang menang selain menyusahkan rakyat.

Semalam media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui menerima banyak permohonan daripada bekas ahli yang mahu menyertai semula UMNO.

Menurutnya perkara berkenaan kini dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO untuk ditentukan keahlian mereka, selain akan dikemukakan kepada Jawatan Pengurusan UMNO untuk dimuktamatkan dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti.

Untuk rekod, pada 12 Jun lalu, Datuk Syed Abu Hussin telah menerima notis daripada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memaklumkan namanya telah dikeluarkan daripada sistem keahlian parti itu, disusuli surat kepada Speaker Dewan Rakyat.

Lima lagi Ahli Parlimen yang terlibat adalah Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini