Tumpuan :
Politik

BN tidak boleh bergantung sepenuhnya pada sokongan dalam komponen – Zahid

FOTO: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) memerlukan sokongan politik dalam kalangan komponen Pakatan Harapan (PH) sebagai penentu kemenangan menjelang pilihan raya akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN bagaimanapun tidak seharusnya bergantung penuh kepada sokongan dalam kalangan komponen BN untuk kekal bertahan ekoran keadaan landskap politik negara yang telah berubah.

“Umno dan parti komponen dalam BN merupakan parti yang berasaskan persahabatan namun kita tidak boleh bergantung kepada ahli-ahli parti sebagai penyokong bagi calon yang kita (BN) kemukakan.

“Maka realiti baru ialah rakan-rakan kita dalam PH yang juga mempunyai ahli dah juga penyokong kerap menjadi faktor penentu bagi kemenangan calon-calon BN atas semangat calon kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Konvensyen Barisan Nasional Selangor 2024 hari ini.

Terdahulu menerusi ucapannya, beliau yang juga merupakan Presiden Umno berkata, kesemua rakan komponen parti perlu menerima hakikat bahawa perkara itu merupakan realiti politk yang harus didepani.

Dalam pada itu, MIC dan MCA juga diseru agar menjalinkan kerjasama yang baik bersama DAP bagi memastikan isu-isu bukan bumiputera di Selangor dapat diselesaikan secara kolektif.

Ujarnya, matlamat itu perlu dicapai sekali gus meletakkan BN sebagai wadah perjuangan pelbagai lapisan kaum selain ingin kekal relevan untuk pilihan raya akan datang.

Mengulas mengenai Konvensyen Barisan Nasional Selangor 2024, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, ia seharusnya dijadikan sebagai platform komponen BN untuk merangka beberapa pelan strategik dan meraih semula sokongan pengundi.

“Barisan Nasional Selangor sedang melalui satu fasa pemulihan dan pemerkasaan. Marilah kita bersama-sama bertekad dan berusaha untuk mengembalikan kegemilangan Barisan Nasional di Selangor.

“Jangan hanya bergantung kepada pengundi tradisional kita, tetapi juga membuka ruang untuk lebih banyak penglibatan dari pengundi muda dan golongan profesional,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini