comscore
Tumpuan :
Politik

BN sedia letak calon di DUN Nenggiri jika ada PRK – Zahid

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) bersedia untuk meletakkan calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kerusi berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, BN hanya tewas dengan majoriti lebih 800 undi.

“Untuk BN, kekalahan kita hanya lebih sedikit 800 (undi), kita fikir bahawa kalau ada PRK, maka pastinya kawasan ini, kita adalah ‘underdog’, namun kita harus bersedia sekiranya mahkamah memutuskan PRK diadakan.

“Setakat ini kesiapsiagaan kita adalah dari segi pengumpulan data-data baharu dan juga menggerakkan jentera di peringkat lokaliti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup bersama peserta dan penganjur Mid Season Cup (MSC) Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2024 – MOONTON Games Malaysia di pejabatnya, di sini hari ini.

Pada PRN Ogos tahun lalu, calon BERSATU, Mohd Azizi Abu Naim yang bertanding menggunakan logo PAS menang dengan majoriti 810 undi setelah memperoleh 6,517 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff (5,707 undi).

Rabu lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada BERSATU.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN Nenggiri pada Jumaat depan bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Azizi akan memfailkan bantahan terhadap keputusan Speaker DUN Kelantan di mahkamah pada Ahad ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau menghormati keputusan dibuat Speaker DUN Kelantan.

Bagaimanapun tegasnya, semua pihak juga perlu menghormati bahawa perkara itu dibawa ke mahkamah.

“Walaupun pelbagai pandangan dan pendapat daripada penganalisis politik serta pengamal perundangan, kami berpendapat bahawa ia harus diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu.

“Keputusan mahkamah ini hendaklah dihormati sementara kita menunggu apa yang akan diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Ditanya sama ada Mohd Azizi sebagai penyandang kerusi yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan wajar diberikan peluang untuk bertanding semula jika PRK diadakan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara berkenaan boleh dirundingkan.

“Saya fikir pendirian kami adalah di mana-mana tempat yang ada PRK, penyandang itu jika datang dari parti komponen dalam Kerajaan MADANI ini, kita berikan keutamaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, pihaknya akan menggerakkan usaha memastikan lebih 5,000 ahli UMNO mengundi calon Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.

“Terdapat 8 PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan UMNO mempunyai pengundi yang juga ahli UMNO berjumlah 5,105 orang. Jadi tumpuannya ialah kepada pengundi UMNO di samping kita cuba menggamit pengundi Melayu.

“Namun parti komponen dalam BN seperti MCA, MIC dan Friends of BN juga sudah memobilisasikan jentera mereka untuk mendekati pengundi pelbagai kaum di DUN Sungai Bakap,” katanya.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRK Sungai Bakap dan 6 Julai ini sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini