Oleh: Kumaran Rajamoney
BANDAR BAHARU: Barisan Nasional (BN) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di Kedah untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran itu dilihat munasabah berteraskan kepada landskap politik negara yang sudah berubah.
“Saya tidak fikir ianya berlebih-lebih. Lebih baik kita bercita-cita sampai ke puncak gunung, daripada berada hanya di kaki gunung. Akhirnya kita tidak akan berada di kaki gunung sekalipun. Kalau kita bercita-cita di puncak, sekurang-kurangnua akan sampai ke pertengahan gunung.”
Lonjakan itu katanya, akan dapat dicapai dengan kepimpinan dan jentera BN Kedah yang bersedia menghadapi apa saja rintangan.
“Kita perlu pertahan kerusi yang ada dan memenangi semua kerusi yang terlepas kepada pihak lawan. Saya yakin semangat yang telah dilihatkan oleh jentera akan dapat terus disambut oleh pengundi-pengundi termasuk pengundi yang bukan ahli mana-mana parti,” katanya.
“Kita akan adakan 10 pasukan petugas khas di setiap kawasan parlimen yang kita sudah tetapkan.”
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang media, mengulas mengenai keyakinan BN dalam meningkatkan jumlah kerusi daripada hanya 2 kepada sekurang-kurangnya 10 kerusi di negeri Kedah pada PRU-15.
Terdahulu, Datuk Seri Ahmad Zahid hadir pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran dan pelancaran Jentera BN Kedah, di sini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.