comscore
Tumpuan :
Politik

BN-PH Sabah setuju wujud ruang komunikasi bersama menjelang PRN Sabah

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu pertemuan diadakan secara tidak rasmi antara pemimpin BN dan PH Sabah di Kota Kinabalu. FOTO: Ihsan Media BN-PH

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Sabah bersetuju mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Persetujuan itu di nyatakan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, di sini hari ini, menerusi satu pertemuan tidak rasmi diadakan di Kota Kinabalu dalam rangka memupuk semangat perpaduan selaras dengan persefahaman antara pucuk pimpinan kedua-dua parti.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua parti berkongsi aspirasi untuk memastikan asas kerjasama akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.

“Bagi maksud itu, kedua-dua parti bersetuju untuk mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti-parti lain sebagai persediaan memasuki PRN Sabah yang akan datang.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju sebarang bentuk persefahaman untuk bergerak ke hadapan akan diputuskan melalui perbincangan dan persefahaman pucuk pimpinan keduadua parti,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.

FOTO: Ihsan Media BN-PH

Kenyataan bersama itu dibuat pemimpin daripada parti komponen BN Sabah dan PH Sabah iaitu terdiri daripada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Raden, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud serta Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.

Selain Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Pengerusi MCA Sabah, Datuk Teah Heok Kuin, Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin, Pengerusi MIC Sabah, Peer Muhmad Kadir dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah, Lahirul Latigu.

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRN ke-17 Sabah pada tahun depan akan menjadi medan untuk menguji kerjasama antara PH dan BN.

PRN itu jelasnya penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang seterusnya menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan dan sewajarnya diteruskan bagi menjamin kestabilan politik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini