KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu membuang empat penyakit sekiranya mahu komponen itu kembali kuat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penyakit itu adalah khayal, pelupa, inertia (enggan buat perubahan) dan sombong.
Beliau berkongsi perkara itu dalam ucapan pada Konvensyen BN Wilayah Persekutuan (WP) yang dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini, petang tadi.
“Penyakit pertama adalah delusinal, iaitu khayal dan terawang-awang. Maaf saya cakap dalam BN ini, saya pun sama lah.
“Penyakit khayal ini, bila mana kita percaya bahawa sokongan rakyat kepada parti (akan diberikan) kerana banyak berjasa dan bangunkan negara.
“Saya nak ingatkan, pengundi kita kini berbeza dan mungkin tidak faham dengan perjuangan BN yang lalu. Jika kita terus berkhayal bahawa pengundi akan undi BN kerana jasa kita, kita akan ada dalam masalah,” katanya.
Bagi penyakit kedua, Johari yang juga Pengerusi BN WP berkata ia adalah amnesia atau pelupa akan tujuan utama BN itu diwujudkan dan perjuangan pejuang terdahulu.
“Kita lupakan perjuangan asal. Mengapa nenek moyang kita termasuklah Tun Abdul Razak wujudkan BN serta panggil parti Gerakan yang dulu pembangkang masuk ke parti kita.
“Asas adalah perjuangan kita untuk bangunkan negara dan beri manfaat kepada rakyat. Kalau masih ada penyakit ini, kita akan terjerumus,” katanya.
Johari yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO WP berkata penyakit ketiga adalah inertia iaitu enggan membuat perubahan atau pembaharuan dalam parti.
“Kita buat ‘bussines as usual’ dan sebab itu kita tak sedar. Saya pun tak sedar dan sebab itu saya kalah dalam PRU-14 meskipun lawan dengan orang yang tidak dikenali.
“Terakhir adalah sombong. Sikap tidak boleh terima teguran dan tidak boleh berdepan dengan perbezaan pendapat. Sikap tidak mahu mengaku kelemahan dan kesalahan serta tidak mahu bertolak asnsur,” katanya.
Johari yakin BN akan kembali memerintah dengan cemerlang sekiranya semua ahli termasuk parti komponen bersatu hati untuk meraih kejayaan.
Katanya, BN juga perlu menyusun strategi bukan sahaja bagi mempertahankan kerusi dimenangi tetapi merampas kawasan dikuasai pembangkang.
Justeru itu, beliau mahu kepimpinan BN menyusun strategi bagi memenangi semula dua kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya dan Labuan yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
“Saya nak minta kepada Pengerusi BN iaitu dua kawasan Labuan dan Putrajaya. Kita pernah menang untuk book (tempah) awal untuk BN bertanding dan mempertahankannya.
“Yang lain, terserah kepada budi bicara Pengerusi BN untuk memikirkan bagaimana dapat bersama dalam Kerajaan Perpaduan khususnya dalam konteks lebih besar,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.