Tumpuan :
Politik

BN perlu balas jasa PH menerusi PRK KKB – Ahmad Zahid

HULU SELANGOR: Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) sebagai peluang untuk membalas jasa Pakatan Harapan (PH), yang telah membantu calon UMNO pada beberapa siri pilihan raya sebelum ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata PKR, AMANAH dan DAP jelas telah memberi sokongan penuh serta membantu calon UMNO pada siri PRK DUN Tioman, DUN Pelangai dan Parlimen Kemaman.

Justeru, BN ujarnya akan menggerakkan jenteranya untuk membantu calon PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Itu prinsip kita yang awal lagi sudah dinyatakan, jadi kita dah gerak jentera UMNO dan MIC untuk jaga lapan PDM (pusat daerah mengundi), termasuk menyantuni komuniti orang Asli, pengundi dari parti kami dan juga pengundi Melayu tidak berparti.

“Kita akan sokong yang mewakili Kerajaan Perpaduan, prinsip kami jika kerusi itu dipunyai oleh salah satu parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, maka kita menghormati formula untuk berikan kerusi itu pada parti berkenaan, kecuali jika terdapat swap dan faktor lain,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian selepas mengiringi calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao ke pusat penamaan calon PRK KKB di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini.

Mengulas mengenai pendirian MCA sebelum ini yang tidak akan berkempen pada PRK KKB sekiranya calon BN tidak diletakkan bertanding di situ, Presiden UMNO itu berkata beliau yakin di peringkat negeri, MCA akan menggerakkan jentera mereka di peringkat bahagian dan DUN, untuk membantu calon Kerajaan Perpaduan.

“Kita faham perasaan MCA, insya-Allah bila kedinginan meliputi perasaan, saya fikir suasana akan berubah, kita tidak jangka (bila MCA akan mula turun bantu kempen) tapi saya fikir UMNO-MCA dua sahabat lama sejak 1974, dan saya fikir ia akan dapat disantuni dengan baik,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai tular rakaman lama calon Kerajaan Perpaduan, Sock Tao yang didakwa mengutuk BN, Datuk Seri Ahmad Zahid berkata itu adalah tindakan jahat pihak pembangkang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini