Tumpuan :
Politik

BN Johor Sudah Terima Senarai Calon PRU15

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) Johor sudah menerima senarai nama calon yang bakal bertanding di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata senarai nama calon itu diserahkan setiap bahagian menerusi parti komponen UMNO, MCA dan MIC.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat bahagian yang belum mengemukakan senarai calon mereka kerana perlu melalui proses perbincangan teliti sebelum menyenaraikan calon mereka.

“Apabila kesemua 26 Bahagian telah menghantar nama calon, BN Johor akan menyenarai pendek nama calon berdasarkan kriteria ditetapkan untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan.

“Calon yang dipilih perlu seimbang, di mana BN Johor akan meletakkan calon muka baharu, anak muda, golongan profesional dan wanita. Namun kita akan tampilkan calon yang boleh menang pada PRU15 nanti seperti ditetapkan parti.

“Walaupun tarikh sebenar PRU-15 belum diketahui, semua komponen di peringkat bahagian sudah diarahkan melengkapkan jentera pilihan raya mereka, selain mengadakan kursus seperti Jalinan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, di sini, hari ini.

Mengenai spekulasi nama besar yang bakal bertanding di luar kawasan masing-masing seperti Ketua Bahagian UMNO Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang mahu bertanding di Pagoh, selain Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dikatakan mahu bertanding di Kota Tinggi, Hasni menyatakan ia akan membabitkan keputusan BN di peringkat Pusat.

“Itu saya kira adalah di pihak pucuk pimpinan tertinggi BN dan UMNO untuk bincangkan. Bukan keputusan kita di Johor.

“Setakat ini, semua itu hanyalah sekadar spekulasi dan khabar angin sahaja. Begitu juga dengan saya, ada juga menyebut saya akan bertanding di sana dan di sini, namun ia sekadar cakap-cakap politik,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini