MARANG: Kerajaan negeri Terengganu masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, yang bakal berakhir hujung bulan ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya mengenai tarikh pembubaran DUN berkata, kerajaan negeri masih mempunyai masa sebelum tarikh akhir 30 Jun ini.
Beliau juga memaklumkan masih belum membuat permohonan untuk menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bagi menyatakan hasrat untuk pembubaran DUN Terengganu.
“Tunggu saya menghadap ke bawah duli tuanku dahulu mohon perkenan. Saya belum menghantar apa-apa permohonan untuk menghadap tarikh bila, kita masih ada masa, hari ini baru 17 hari bulan, kita ada sehingga 30 hari bulan, dua minggu lagi,” katanya ketika sidang media selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional Parlimen Marang di Perkarangan Pasar Binjai Rendah, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ahmad Samsuri ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) mampu menawan kembali Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata, PN akan menggunakan pelbagai kaedah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka dalam PRN ini, selain yakin mampu menawan kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu.
Katanya, PN juga yakin mampu mengekalkan kemenangan di negeri yang sudah diperintah dan dengan gerak kerja yang diatur mereka yakin mampu menawan negeri-negeri yang belum ditawan.
Selain Terengganu, PRN juga akan diadakan di Selangor, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS menguasai 22 kerusi manakala BN memenangi 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.