comscore
Tumpuan :
Politik

BERSATU akan kenakan tindakan ke atas 2 Ahli Parlimen – Muhyiddin

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di ibu negara, malam tadi. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin BERSATU akan menentukan tindakan ke atas dua Ahli Parlimen parti itu iaitu Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) yang secara terbuka mengumumkan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan terhadap kedua-duanya sudah dibuat.

“Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab, bertentangan dengan semangat dan perlembagaan parti dan melanggar peruntukan sedia ada.

“Lembaga Disiplin parti akan bersidang dalam masa terdekat dan hukuman akan dijatuhkan kepada kedua-duanya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; dua Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Muhyiddin mengakui apa yang dilakukan oleh ahli Parlimen menimbulkan prasangka terhadap parti.

“Saya nak nyatakan kepada penyokong PN umumnya dan BERSATU khasnya, tindakan mereka ini tidak mendapat sokongan kita.

“Kita sedar hampir semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertanding atas tiket PN mendapat sokongan besar daripada sebahagian besar pengundi terutama dalam kalangan pengundi Melayu, bukan Bumiputera dan sedikit dalam kalangan bukan Melayu.

“Untuk mempertahankan prinsip yang diperjuangkan, kita tidak berkompromi dengan tindakan biadab, tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip perjuangan BERSATU.

“Atas jaminan ini, kita akan lakukan apa yang sesuai supaya hukuman dapat dikenakan terhadap mereka dan kita mohon rakyat terus memberi kepercayaan dan keyakinan untuk kita menjadi pembangkang yang bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya.

Setakat ini, empat ahli Parlimen pembangkang daripada PN menyatakan sokongan secara terbuka terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

Ia bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman Suhaili (30 Oktober); Mohd Azizi (7 November) dan Zahari pada hari berikutnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Lembaga Disiplin BERSATU menggantung keahlian dan semua jawatan Iskandar Dzulkarnain dan Suhaili, masing-masing empat dan enam tahun.

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini