comscore
Tumpuan :
Politik

Beri ruang luahan ahli, fahami jajaran politik baru – Pemuda UMNO

FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Sayap UMNO perlu diberi ruang untuk mengendalikan persidangan sendiri kerana perwakilan boleh meluahkan apa yang terbuku di hati mereka.

Ketua Pemuda Umno Kulim Bandar Baharu, Khairul Azam Alias berkata, tiada jemputan kepada parti lain dalam Kerajaan Perpaduan ke persidangan sayap itu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, pada 7 hingga 10 Jun ini, tidak bermaksud mereka bertelagah.

Sebaliknya ujar beliau, ia adalah perbincangan mengenai ‘isu keluarga sendiri’.

“Jemputan dari parti lain boleh datang masa persidangan Umno Malaysia. Kita tak halang, cuma bagi Pemuda, kami ingin bersuara dengan sebaik-baiknya,” katanya, menurut Harian Metro.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya tidak akan menjemput parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) bagi sayap yang akan berlangsung minggu depan.

Dalam temubual bersama Harian Metro, beliau menjelaskan pihaknya mahu ‘memperbetulkan’ dulu apa yang berlaku di ‘rumahnya’ sebelum menjemput mana-mana parti.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kapar, Affifi Aris berkata, akar umbi perlu diperjelaskan mengenai isu hubungan sedia ada serta hala tuju masa depan parti.

Katanya, ahli Umno menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustaffa Billah Shah supaya membentuk Kerajaan Perpaduan di negara ini.

“Namun apa yang pasti, ahli mesti dijelaskan dengan baik sebab utama kita membentuk kerajaan bersama dengan Pakatan Harapan dan parti-parti lain.

“Tetapi, membentuk sebuah kerajaan pada hari ini tidak bermakna ahli parti setuju dengan jajaran politik baru sehingga bekerjasama dalam pilihan raya.

“Justeru, mesti dijelaskan dengan naratif baru ini kenapa bersama Kerajaan Perpaduan ini membawa kepada jajaran politik baru dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN),” jelasnya dalam satu kenyataan.

Affifi berkata, ketika kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, parti memilih untuk bergerak secara solo dan tidak timbul isu gabungan bersama parti yang membentuk kerajaan persekutuan pada ketika itu.

“Kita mahukan kesepakatan dalam kepimpinan pemuda dan bukannya ‘angguk-angguk, geleng-geleng’,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata  PAU 2023 akan mencatat sejarah apabila dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai tetamu kehormat.

Perdana Menteri dijadual hadir pada acara pembukaan PAU 2023 Khamis ini dan disertai semua presiden bagi 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan.

Loading...
Terkini