BAGAN DATUK: Pembentukan Barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka yang baharu wajib mengambarkan komposisi Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi menunjukkan kebersamaan dan perkongsian kuasa dengan parti-parti yang berada dalam gabungan berkenaan.
”Saya berhasrat agar barisan exco mesti mengambarkan komposisi kerajaan perpaduan. Walaupun kita tahu di melaka, umno dan BN memperolehi ¾ suara majoriti di negeri berkenaan. Nanun alangkah baiknya jika kerajaan negeri melaka dapat mengambarkan kebersamaan dan juga perkongsian kuasa dengan Adun2 yg telah dipilih rakyat dari parti2 yg berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Tadarus Al Quran Perdana sempena Ramadan 1444 hijrah peringkat Parlimen Bagan Datuk.
Menurutnya, beliau dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan membincangkan agihan portfolio barisan Exco kerajaan negeri.
Katanya, tumpuan akan diberikan untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat khususnya dalam memberikan kesinambungan perkhidmatan terbaik kepimpinan terdahulu.
Usaha juga dilakukan bagi menarik pelaburan langsung asing, FDI dan tempatan bagi meningkatkan pembangunan negeri.
Pada masa sama, pembangunan sumber manusia akan diberi penekanan terutama dalam bidang teknikal dalam bidang perindustrian, selain pembangunan sektor pelancongan.
Semalam, Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke 13 mengantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.