comscore
Tumpuan :
Politik

Barisan EXCO negeri Kedah akan dilantik secepat mungkin – MB

Sanusi, MB Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan menyelesaikan urusan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco), seawal minggu ini.

Nama calon exco itu katanya akan dicadangkan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), sebelum dipertimbangkan beliau dan dipersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

“Mereka yang dilantik ini akan menjadi pasukan pelaksana dan penterjemah Pelan Pembangunan Kedah 2035. Satu mesyuarat akan diadakan pada petang ini bagi meneliti nama yang dicadangkan parti.”

“Sukar bagi saya untuk membuat pilihan kerajaan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) dalam kerajaan kali ini kerana ramai yang berkelayakan. Kita akan ada 10 lantikan Exco yang terdiri dari mereka yang pengalaman dan baharu,” katanya.

Sanusi bersalaman dengan bapanya, Md Nor Taib.

Muhammad Sanusi dalam pada itu akui berhadapan cabaran yang besar dalam menjawat jawatan Menteri Besar Kedah pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.

Ini berikutan mandat yang besar diberikan kepada kerajaan pimpinannya itu, apabila 33 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan dimenangi PN.

“Saya jadi takut kerana harapan terlalu tinggi, takut tidak tercapai hasrat dari rakyat tetapi saya berazam dan akan cuba sedaya upaya untuk tunaikan amanah rakyat. Kita pun ada 32 lagi ADUN dari pelbagai latar belakang dan mereka juga sudah pasti punyai azam yang sama untuk memberi khidmat bakti sepenuhnya kepada rakyat Kedah.

“Ada tiga ADUN pembangkang bukan Melayu tetapi saya tiada masalah untuk memberi khidmat bakti kepada rakyat bukan melayu di Kedah kerana kita sama sekali tidak mendiskriminasi atau memilih bulu terhadap rakyat Kedah,” katanya.

Sanusi bersama bapa, Md Nor, isteri, Tok Puan Jusmalailani Jusoh dan Ibu, Meriam Ahmad

Beliau juga akan beri komitmen untuk membuka lembaran baharu (new beginning) dalam soal kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan rakyat Kedah.

“Kalau mereka (Kerajaan Pusat) bersedia, Alhamdulillah tetapi kalau simpan dalam hati, saya tidak tahu la yang itu.. apabila rakyat memilih pastu hukum mereka sebab sudah buat pilihan, itu salah dan kena faham ini negara demokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Darul Aman disini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar kedah bagi penggal Dewan Undangan negeri (DUN) Ke-15 di Istana Anak Bukit.

Loading...
Terkini