Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Barisan Exco Melaka cerminkan Kerajaan Perpaduan – Ab Rauf

 

MELAKA: Ketua Menteri Melaka yang baharu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh membayangkan  ADUN dari Pakatan Harapan (PH) akan menyertai barisan Exconya.

Dalam hantaran di Facebook rasminya, Ab Rauf berkata beliau akan memastikan barisan Exco yang akan dibentuk adalah lebih inklusif dan mencerminkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada sidang media di Kompleks Seri Negeri selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. -FOTO : NSTP
Tangkap layar hantaran Rauf di Facebook.

Beliau menegaskan kerajaan baharu negeri Melaka nanti adalah sebuah kerajaan  yang kukuh dan stabil, sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil muafakat bersama antara parti-parti politik yang mempunyai mandat yang kuat untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.

Dalam hantaran sama,  beliau memberitahu akan merangka Pelan 100 Hari yang baharu untuk menjana lebih banyak pelaburan dan pekerjaan buat Melaka.

“Rakyat Melaka dahagakan pembangunan. Mereka mahu melihat kemudahan hospital, kemudahan sekolah, peluang berniaga dan peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik. Melaka juga memerlukan infrastruktur, termasuk bekalan air, jalan raya dan digital, yang lebih baik,” menurut hantaran itu.

Ab Rauf, yang juga ADUN Tanjung Bidara, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 semalam menggantikan ADUN Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang melepaskan jawatannya.

Loading...
Terkini