comscore
Tumpuan :
Politik

Azmin tolak, Sanusi tolak, giliran Syahir – Rafizi

Foto : NSTP

SEREMBAN: Sebelum ini bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak berdebat dengannya, kini Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli mencabar Penolong Setiausaha Agung Pas yang juga Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.

“Azmin sudah tolak, Sanusi sudah tolak, saya nak tengok sama ada Syahir yang diangkat sebagai tokoh nombor satu ekonomi dalam Perikatan Nasional (PN) tampil ke hadapan dan kita sudah beri ruang sepenuhnya.

“Saya akan menulis secara rasmi kepada dia dan saya tunggu dia nak jawab apa,” katanya kepada media selepas Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat malam tadi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau akan terus meminta untuk berdebat dengan wakil PN kerana budaya ini seperti ini perlu dibawa demi pembaharuan negara.

“Ditambah lagi tokoh-tokoh daripada PN ini berkali-kali memainkan sentimen yang tidak ada asas mengenai keadaan ekonomi negara.

“Inflasi sudah turun, prestasi pasaran saham naik baik tetapi mereka masih membohongi rakyat dan mengulangi benda yang tidak betul.

“Kalau zaman saya pembangkang dahulu, saya yang mencabar menteri untuk berbahas, tetapi menteri tak nak. Jadi, sekarang kita sudah beri ruang sepenuhnya,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu turut mengingatkan kepada PN, sekiranya mereka berdolak-dalih, pengundi atas pagar akan menganggap bahawa mereka tidak berani berdebat dengannya.

“Mereka boleh sahaja pusing macam mana, tetapi pengundi atas pagar akan mengambil kira bila tidak berani berdebat itu, maksudnya kamu tidak ada idea dan perancangan untuk ekonomi.

“Itu juga cara terbaik untuk saya menjawab tuduhan-tuduhan tak berasas selama ini,” katanya.

Loading...
Terkini