Tumpuan :
Politik

Azmin enggan tandatangan syarat bon – Rafizi

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Tidak semua bekas Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terlibat dengan Langkah Sheraton menandatangani bon yang mengikat mereka kepada parti itu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ada antara mereka termasuk bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak untuk tandatangan bon terbabit.

“Saya belum semak dengan Setiausaha Agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), cuma seingat saya ada yang tandatangan dan ada yang menolak untuk tandatangan.

“Sebab ketika itu kumpulan Azmin Ali dan Azmin sendiri seingat saya tidak mahu tandatangan. Dia tak tandatangan sampai ke sudah, jadi saya tak pasti daripada 10 orang itu, berapa yang tandatangan dan berapa tidak tandatangan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKE-12) Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Rafizi berkata, perkara itu akan diserahkan kepada peguam PKR, William Leong untuk memberi pandangan berhubung tindakan perundangan selanjutnya.

“Perkara ini nanti peguam William Leong perlu beri pandangan kepada parti, apa tindakan dan langkah selanjutnya, sama ada keputusan mahkamah itu bermakna mereka yang tidak tandatangan pun boleh disaman atau tidak itu di luar pengetahuan saya.

Tapi saya ingat, ada yang tandatangan dan ada menolak,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi berkata demikian ketika ditanya media adakah surat saman terhadap 10 bekas ahli parlimen PKR yang berpaling tadah, telah dikeluarkan setakat ini.

Saifuddin sebelum ini berkata, saman yang dikemukakan PKR terhadap bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin bukan yang terakhir dan parti akan meneruskan tindakan sama ke atas 10 bekas ahli parlimen yang keluar parti.

Zuraida diperintah oleh Mahkamah Tinggi KL untuk membayar RM10 juta kepada PKR kerana melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti itu.

Bagaimanapun, Zuraida berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

Loading...
Terkini