comscore
Tumpuan :
Politik

‘Apa yang mahu kami rayukan?’ – KJ

FOTO: Tangkap layar Keluar Sekejap / Youtube

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin setuju dengan kenyataan bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang mempertikai ‘undangan’ Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin yang dipecat dan digantung untuk menyertai semula parti itu, kerana sangsi dengan keikhlasan jemputan itu.

“Ini kerana kami tidak tahu atas alasan apa kami dipecat dan digantung…kita tidak tahu tindakan apa yang melayakkan kami dipecat dan digantung, apa yang mahu kami rayukan,” katanya dalam program Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Khairy berkata, beliau masih ragu kerana tidak tahu atas sebab apa beliau dipecat dan apakah rayuan yang perlu dibuat, walaupun ada kenyataan dari Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh dan beberapa perwakilan lain termasuk dari Sabah dan Johor yang mencadangkan parti ‘memujuk’ semula ahli yang dipecat dan digantung.

“Seperti yang disebut oleh Hishammudin, perkara ini tidak pernah dibawa ke Lembaga Displin parti dan tidak melalui proses yang betul, jadi kita nak merayu apa,” katanya.

Khairy juga berkata, beliau tidak akan melakukan sesuatu yang drastik dan ekstrim untuk patuh kepada UMNO sambil menjelaskan prinsip itu bukanlah terjemahaan ego mereka.

Sementara itu, Shahril berpendapat perkara yang sudah berlalu tidak boleh diubah.

“Keputusan itu dibuat oleh Presiden parti, secara teknikalnya Majlis Kerja Tertinggi tetapi hakikatnya itu adalah keputusan Presiden,” tegasnya.

Sambil berterima kasih kepada ahli yang sentiasa memberi sokongan dan meminta mereka kembali kepada parti, Shahril berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan Presiden UMNO.

“Saya sudah menyuarakan apa yang saya rasakan perlu untuk UMNO terus ke hadapan, beliau tidak menerima dan seterusnya membuat keputusan menggantung keahlian saya atas nasihat orang tertentu, jadi saya terima sahaja keputusannya itu,” katanya.

Shahril juga berkata, Presiden UMNO berhak melakukan apa yang beliau rasakan terbaik untuk parti.

“Namun jika kami diminta mencontohi Lokman Adam barulah diterima semula, jika itulah yang dianggap yang baik, saya rasa tak apalah saya terus diluar dan UMNO teruskanlah apa Presiden rasa terbaik,” katanya sambil menambah beliau tidak sombong tetapi apa yang sudah berlaku tidak boleh dipadamkan.

Shahril berkata, pintu untuk beliau kembali kepada UMNO tidaklah tertutup sepenuhnya tetapi beliau tidak mahu merumitkan dan menyusahkan Presiden parti kerana masih ramai ahli UMNO yang tidak menerima ahli yang sudah dipecat atau digantung.

Khairy dan Shahril sempat berseloroh UMNO sudah ada acuan di mana bekas ahli UMNO kini masih boleh bersama UMNO seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loading...
Terkini