comscore
Tumpuan :
Politik

Anwar selar pembangkang fitnah anak angkat Amerika, ikut nasihat Yahudi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang melemparkan fitnah terhadapnya ketika ceramah kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang baru-baru ini.

Perdana Menteri menegaskan, beliau sama sekali bukan anak angkat Amerika Syarikat (AS) mahupun mengikut telunjuk Yahudi seperti yang difitnah.

“Di Sungai Bakap, saya dipanggil anak angkat AS, Kementerian Kewangan pinjam dari IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan saya ikut nasihat yahudi, ikut saja.

“Itu dari ustaz pakai kopiah dan jubah tapi fitnah terang-terangan. Fakta di sebaliknya mana mungkin saya lakukan ini semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tahun 2024 Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Fitnah itu dilemparkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin dalam ceramah kempen sempena PRK DUN Sungai Bakap pada Ahad lalu.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengingatkan penjawat awam supaya tidak terikut dengan tindakan pembangkang dan berhak mengetahui perkara sebenar supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang tidak benar.

“Saya perlu menjelaskan kerana bagi penjawat awam, kalau saya lakukan begitu, saudara penjawat awam nak pertahankan Perdana Menteri yang bagaimana? Yang jadi alat AS? Jadi sebab itu saudara-saudara juga harus tahu apa yang berlaku (termasuk) dalam MAHB (Malaysia Airports Holdings Berhad),” katanya.

Selain itu, dalam soal penjualan sebahagian saham MAHB, Perdana Menteri berkata, beliau telah menjawab segala persoalan di Parlimen semalam.

Jelasnya, pemilikan saham Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam MAHB meningkat daripada 41 peratus kepada 70 peratus.

Sementara baki kepentingan 30 peratus lagi dimiliki oleh Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

“Bagi rakyat tidak tahu, tidak apa. Bagi penjawat awam tanggungjawab saudara mengambil tahu, jangan saudara kipas sama, ada segelintir tapi tidak adil.

“Boleh kritik, Anwar tak laksana begini, Anwar ada kelemahan kerana tidak faham ini, salah keputusan, saya tiada masalah. Jangan fitnah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini