Tumpuan :
Nasional

Anwar perlu dedahkan nama ‘geng kaya’ kepada umum 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mendedahkan kepada umum identiti sebenar ‘geng kaya’ yang dimaksudkan cuba mengugut untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Artikel berkaitan: ”Geng Kaya” ugut mahu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan – Anwar

Menyifatkan ‘geng kaya’ dimaksudkan Perdana Menteri itu sebagai ‘mafia politik’, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, ugutan mereka itu jika sampai ke tahap menggugat kedudukan kerajaan akan menjurus kepada satu bentuk kesalahan jenayah yang mengancam perjalanan demokrasi berparlimen.

“Kerajaan pimpinan Anwar tidak perlu menggunakan polis dan undang-undang untuk menghadapi ‘geng kaya’ ini, sebaliknya dedahkan mereka ke pengetahuan umum untuk dinilai rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

“Siapa mereka ini. Bagaimana mereka boleh jadi kaya? Adakah mereka kapitalis kroni? Adakah mereka pemilik monopoli AP (permit import)? Adakah mereka dalam senarai Pandora Papers dan Panama Papers?“Adakah mereka pemilik syarikat besar yang pernah di ‘bailout’ oleh kerajaan? Adakah mereka ada rekod lari dan mengelakkan diri dari membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Adakah mereka ada kes rasuah?” katanya.

Dalam satu ucapan di Pulau Pinang semalam, Anwar mendedahkan ada ugutan yang beliau terima daripada ‘geng-geng kaya-raya’ ketika kerajaan berusaha ‘membersihkan’ negara.

“Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ‘geng kaya’ yang memusuhi Anwar dan Kerajaan Perpaduan sekarang adalah segelintir orang kaya atau elit ekonomi yang masih menguasai politik hingga kini.

Justeru beliau mahu pemimpin dalam kerajaan khususnya menteri Kabinet bekerja kuat untuk memastikan agenda reformasi dibawa Anwar dapat dijayakan sehingga berhasil dan dapat dilihat oleh rakyat.

“Jika kerajaan sekarang komited menolong golongan B40, M40 dan T20 dengan mengurus kos sara hidup rakyat, jaminan pekerjaan dan pemulihan ekonomi, maka mesti pantau ‘geng kaya’ ini yang segelintirnya kaya raya, jutawan dan maha jutawan supaya mereka tidak sabotaj ekonomi negara,” katanya.

Loading...
Terkini