![](https://media.buletintv3.my/2022/11/lmJUsI7K-PP-CMS-1.jpg)
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dan parti sekutu dilihat berkumpul di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Jalan Gasing, di sini.
Antara yang dilihat hadir ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Persaingan menjadi Perdana Menteri Ke-10 membabitkan Anwar yang juga Pengerusi PH merangkap Presiden PKR dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Anwar bagaimanapun dilihat hanya berada di pejabatnya sejak tengah hari tadi.
Syed Saddiq ketika ditemui pemberita memohon semua pihak mendoakan supaya Presiden PKR itu diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Dalam mandat saya sebagai Presiden MUDA, saya memberikan sokongan buat Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri. Insya-Allah doakan, doakan,” katanya.
Berdasarkan perkembangan semasa, masih belum ada petunjuk sama ada Anwar atau Muhyiddin yang akan membentuk kerajaan.
Malah, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terdahulu menitahkan rakyat untuk memberi masa kepada baginda dalam membuat keputusan berhubung keputusan pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Baginda juga mengingatkan supaya rakyat bersabar dan bersifat rasional selain perlu bergerak ke hadapan untuk negara tercinta.